Wednesday, December 28, 2011

Pada Garis Alpa

Pantasnya masa untuk dikira
tahun baru muncul tetiba
memerhati gerak daya upaya
dan usiaku meloncat semerta
pada garis kedut dahi dan muka
menyatakan secara rahsia
lompatan dewasa melepasi mata
menyedarkan aku dari ulikan alpa

Monday, December 19, 2011

Angin malam

Telah sekian lama suram
hati yang tidak bersiram
tetiba sepoi angin malam
merungkai kedamaian alam
suasana kelam dan berbalam
bertukar nyaman dan tenteram
hirup nikmat udara nan silam
di gigi pantai indah Teluk Tiram

Tuesday, December 6, 2011

Tahun Baru Diambal-ambalan

Harapan terpendam menjentik perasaan
dalam luahan bersemi iguan
tahun baru langitnya berambalan
berarak melepasi rentasan
meneropong warna kehidupan
benang harapan dalam untaian
kehidupan ini bisa diteruskan
mengurai setiap simpul cabaran

Wednesday, November 23, 2011

Hijrah Dalam Harapan

Hijrah yang berkilauan
datang dengan impian
kelongsong iguan harapan
merencanakan sebuah catatan
tekad mendepani cabaran
menukar perspeksi zaman
meniti menguji kesabaran
beranyamkan jalinan harapan
penerus rumpun kehidupan

Malaysia Ku Nan Satu

Setia ini makin berpadu
usah kalian pertikai ragu
darah yang ngalir berbuku
saksi kasih nian berlagu
diulik rindu yang menderu
bagaikan cinta untuk ratu
dihatiku tetap dirgahayu
tidakkan ada garisan waktu
kedamaian yang diburu
selembut angin menderu
cantik indah dimata kalbu
semerbak harum dalam rindu
buat Malaysiaku nan satu

Thursday, November 17, 2011

Melayu Yang Kuat

Kuatnya Melayu itu
dalam ikatan yang padu
setianya yang satu
kebawah duli tuanku
hilang sifat seteru
usah jadi sembilu
saat sedih memilu
bertaut dirgahayu
setia dalam kalbu
ukhwah bila bertemu
buang keruh di hulu
bersama kotoran saru
dicelah rekahan batu
selama berlumut berbuku
melihat larian waktu
kian pantas berlalu
bagai angin menderu
bisa fikirkan sesuatu
demi harga anak cucu
usah ulangi sejarah lalu
jangan buka teori baru
konon untuk lebih jitu
kelak kita kan termangu
menangis tanpa lagu
melambai penuh sayu

Thursday, November 10, 2011

Bentengnya, Seorang Perempuan Cuma

Banjir yang melanda tatkala
bahang politiknya mencengkam dada
arus sengketa bergolak seketika
menguji kecekalan hati dan jiwa
polisi negara meredah arus muara
seorang perempuan jadi bertenaga
berenang dalam strategi minda
mencurah idea pelbagai cara dan daya
negara gajah putih resah diamuk bencana
hampir tenggelamnya pintu mata jendela minda
menguji seorang perempuan menjadi benteng jaya

Thursday, October 20, 2011

Denyutnya Berhenti

Libya bermandi darah dalam pasrah
sejarah diasak pada lurah yang merekah
serangan bertubi kali dengan harapan pasti
tersenarai lagi pemimpin rebah untuk diganti
rakyat meraikan hari yang belum pasti berseri
lubang digali untuk berdepan percikan api
demokrasi boleh kembali dibawah cawat besi
merdeka sudah tidak bererti di bumi sendiri
mereka sedang menadah minyak yang digali
berkongsi laba berkongsi komersial cara terapi
keamanan yang diharap belum pasti diulangi
rakyat hatinya bisa mati berulang kali
denyut nadi siap berlari menagih simpati
barat melihatnya dengan lirikan puas hati

Saturday, September 17, 2011

Persaingan Kehidupan

Dunia kita dunia persaingan
keterampilan pamerkan kehebatan
pengaruh dan kuasa kian dominan
eleman persaingan murahan
melebar hingga dunia kesukanan
termasuk aspek penyediaan makanan
terutama pakej berbuka Ramadan
diluar amalan dan kebiasaan
rumah terbuka jadi medan tarikan
jumlah kehadiran tanda sokongan
mengagumkan, melucukan dan mengaibkan

Thursday, September 8, 2011

Bukit Kepong Perang Kembali

Bukit Kepong tidak mati
Bukit Kepong tidak terhenti
Bukit Kepong diserang bertubi
Bukit Kepong kan terus diingati
darah pejuang yang berada dalam bumi
cuba di gali untuk mendapat pasti
betapa sedih dan sebak warisan hati
pengorbanan pejuang dulu tidak dipeduli
diserang musuh baru yang kematian hati
perang psikologi bersenjatakan idealogi
Bukit Kepong kembali dalam denyut nadi

Sejarah Dalam Himpunan Sampah

Rupanya masih ada yang mengingati sejarah
dalam menerjah kehidupan yang kian resah
di medan ceramah sejarah tidak pernah ditarah
hanya dibuka dan dikisah setiap kali musim berdarah
setelah dibahas dan dirujuk peristiwa sudah-sudah
sejarah dikembalikan semula dalam himpunan sampah

Bukan Sekadar Menjamah Hidangan

Bukan sekadar menjamah hidangan
tapi juga menjamah kenangan
membilang kesilapan dalam ingatan
seperti menghitung kuih di pinggan
menyuapnya ke mulut perlahan-lahan
mengunyah sambil menelan kesilapan
tangan gelisah dalam keseronokan
memohon keampunan dalam keberkatan

Bukan sekadar menjamah hidangan
rupanya kuih simbol ikatan
setiap kali menyambut perayaan

Wednesday, August 31, 2011

Penat Bonda Dalam Ceria

Kelibat mata bonda berkaca
sewaktu menyambut kami tiba
sembunyikan perasaan hiba
dirinya terpaksa siap siaga
menjadi hamba dakapan ceria
rela berbuat apa sahaja
demi anak menantu tercinta
memasak di dapur dalam lena
cucu dilayan dalam terngaga
anak terima hidangan sedia
dalam riuh bergurau senda
penat bonda pembakar selera

Sunday, August 28, 2011

Menyambut Aidil Fitri

Aidil fitri kini disambut di depan TV
kita bersila seronok sambil memerhati
gelagat manusia, hiburan dan realiti
menggantikan budaya dan ziarah tradisi

Kita hanyut dek khayal limpahan mimpi
mengidamkan kekayaan dan populariti
dipancarkan terus dalam gelombang hati
sedang roh sambutannya tidak dipeduli
segalanya sepi dalam riuh yang cemari
dibalik meriah dan dentuman sana-sini

Rupanya kita lebih seronok bersendiri
padang kemeriahan tidak pernah mengerti
demi meraikan kegembiraan ciptaan emosi
sedang naluri kian bergelut tanpa henti
mencari diri dan makna fitrah nan hakiki

Di Sini Kita Temui

Disini kita kan temui
manusia bernafsu ranggi
semangat cemburu dan dengki
hilang kesabaran mengawal diri
tidak sesekali ambil peduli
risiko cacat, cedera dan mati
dilebuh ngeri romanya berdiri
meratapi sambutan Aidil Fitri


Saturday, August 20, 2011

Kembali Hujan

Hujan yang reda itu
membentuk emosi hati yang haru
dan kelibat panas di muka pintu
terkadang teruja menunggu
dalam jemu merancang sesuatu
tika kebasahan hati kian berlalu
tompok kepanasan tanpak memburu
tetiba ambalan langit meluru
berarak membawa benihan baru
awan kelu bertekad bantu
hujan beradu kembali bertamu
aku pasrah dalam telahan waktu


Wednesday, August 10, 2011

Plot Politik

Sukar mentelaah bacaan politik
plot cerita berbelit bersama gimik
putarannya melilit tetapi menarik
pelaku dalam perit masih mengulik
sedang bahasanya tunggang terbalik
strukturnya lendik dalam dalik
episod politik rebah dalam gedik

Monday, July 18, 2011

Bunga-Bunga Ramadan

Menabur bunga-bunga kerinduan
setiap penjuru dalam wangian
semerbak harum percikan iman
kelopak takwa mekarkan impian
debunga maghfirah dan keberkatan
mengharap masuk pintu ar-Raiyyan

Monday, July 11, 2011

Menabur Budi

Betapa susah menuai padi
Kalau tanah berair kembali
terasa sukar hendak berbudi
Kalau mahu dituntut kembali

Pasang pelita antara kandi
dalam padang terbang rerama
niat kita untuk berbudi
tafsir orang manakan sama

Kalau suluh padi di huma
jangan ternampak musuh biasa
kalau ada ruang dan masa
usah dihalang maksud dan daya

Saturday, July 2, 2011

Dalam Kendati

Aku meniti dalam menanti
hari-hari yang luka pasti
bangsaku hanyut akal budi
rela melawan setengah mati
puas dinasihati berkali-kali
namun undurnya jauh sekali
sanggup bermati dalam kendati
jiwa dan imannya telah mati
hanya nafsunya masih berdiri

Monday, June 27, 2011

Doa

Doa itu kuntum yang mekar
kelopaknya mewangi segar
tunjangnya teguh berakar
bauannya semerbak attar
dalam rimbunan sabar

Saturday, June 25, 2011

Pabila Musuh Menjadi Kawan

Pabila musuh lawanan menjadi kawan
kawan menjadi lawan untuk ditawan
kebenaran kian hilang dipertahan
sakit hati sakit jiwa biasa alahan
rela ditelan hanya demi kekuasaan
peduli apa asakan dalam tentangan
bisa ditepis dalam manis ungkapan
muntahan peristiwa silam ditelan
dalam rontaan jiwa yang ditahan
demi sebuah episod angan-angan
sebuah bayangan dalam keseronokan

Friday, June 24, 2011

Dosa (2)

Tiada guna bertengkar dengan mereka
kental pertahan atas hujahan agama
bisa ternganga pabila kebenaran nyata
dalam kehidupan penuh muatan prasangka
agama diperdagang dalam pasaran niaga
sedang kebenaran terlalu murah harga
disisi mereka yang mata hatinya buta

Dosa (1)

Pabila dipertahankan dosa
atas nama percaya
demi gerakan bersama
dilibatkan pula isu agama
ulamak wewenang diperguna
bukan atas kemuka yang ada
bahan buktinya menjadi hina
dianggap besi tidak berkata
kebenaran berada atas noda
yang berdosa dijulang wira

Musim Bunga dan Luruh

Ingatkan musim bunga yang tiba
rupanya musim luruh yang mara
menabur bunga-bunga kecewa
period musim hanya dua
musim bunga yang hampa
musim luruh dedaun sengketa

Hanyutan Jiwa

Sayangnya bangsaku berpecah tiga
semakin dilupa dimana tapak asalnya
dek terlalu ghairah mengejar kuasa
sanggup berkongsi nafsu dan minda
bersama seteru dalam pelukan mesra
rontaan jiwa yang kian membara
malam yang pekat menjanjikan hampa
bangsaku hilang dalam tepukan gembira
meraikan kehancuran kuasa pusaka

Wednesday, June 15, 2011

Antara Bersih dan Kotor

Bersih itu tidak kotor
kotor itu tidak bersih
bersih boleh menjadi kotor
kotor boleh menjadi bersih
disebut bersih walapun kotor
disebut kotor walapun bersih
manusia itu pengotor pembersih
segenap perkara mahu berselisih
jangan biarkan kita bertatih
penat berkira mengundang letih

Tuesday, June 14, 2011

Rasa Yang Hilang

Sekali-sekala menikmati keseronokan Taman Tema
bersama keluarga mengisi musim cuti yang pertama
indahnya tidak tergambar dalam suasana ceria bersama
namun tercemar dek pakaian yang menyilau muncul jelma
anak-anak terdedah pencemaran yang bergayut di mata
rasa gembira tetiba hilang semerta digaris sempadan agama

Sekadar Mengingati

Balik ke daerah kelahiran sekali-sekala
terasa asing terasa sunyi hilang segala
kekawan rapat sukar dikesan luar jendela
imbau keseronokan silam yang kian gendala
mengingati kekawan dalam nafas menghela
sukar ditemui zaman lampau yang bersela-sela
sekadar catatan memori nian panjang berjela
segar ingatan dalam pusingan radar di kepala

Monday, June 13, 2011

Musuh Sebenar

Merimbun pohon menghijau di taman ini
memukau pandangan mata hati naluri
berlindung dari bahang panahan matahari
terasa nyaman dan sejuknya melingkari
semakin merangsang hati untuk mendekati
kehijauannya tidak menggambarkan realiti
batang makin reput dimakan ulat Lymantridi
pohon berjasa nanti kan tersungkur ke bumi
musuh sebenarnya telah menyerang dalam diri

Monday, June 6, 2011

Musim Cuti Bermakna

Musim cuti menyimpan makna yang tersendiri
binatang ternakan dibayangi mimpi ngeri
imam dan Tok kadhi kerjanya tidak cukup hari
berkejar sambil terbang hadir majlis kenduri
pasangan remaja tanpak ceria menunggu ijabi
tempahan demi tempahan dibuat tanpa peduli
yang penting kepuasan hati bersama realiti
tanpa peduli jumlah penceraian berganda kali
moga lain kali tidak disenarai dalam log kadhi

Saturday, June 4, 2011

Mencari Diri

Puas aku mencari diri
meraba dalam realiti
terperangkap dalam mimpi
lantas ku temui
segumpal hati berduri
dibalut tasi urat nadi

Sunday, May 29, 2011

Alunan Mega Mendung

Mega mendung dari selatan
usah mudah buat tafsiran
mega mendung dari utara
elok kita muafakat kira
mega mendung dari barat
biar ikhlas dalam sepakat
mega mendung dari timur
moga negara kekal makmur
mega mendung awan gemawan
kita bendung segala ancaman
mega mendung alun beralun
usah utamakan soal calon
mega mendung ambal-ambalan
kelemahan silam jadi panduan
mega mendung berarak pulang
moga kali ini biarlah cemerlang

Saturday, May 28, 2011

Penawar Tekanan

Tenangnya air dalam pandangan
kocakan kolam hilang gangguan
mata bersaksi dalam rawatan
pengubat hati penuh keresahan
bisa menyubur minda indah nian
penawar berkesan penuh iguan
memerhati cuma renangan ikan
arus minda gerak beriringan
betapa tenangnya rimbun perasaan
dibayar dengan nilai penghayatan

Thursday, May 26, 2011

Cerminan Jiwa

Seorang ayah tidak pernah mengayam alpa
kepenatannya meronta dalam rintihan minda
sedang pengorbanannya cerminan jiwa
kasih untuk anak melebihi segala yang ada
tanpa mengharapkan balasan kecuali berita
anak cucunya ceria dalam alunan harmonika

Sunday, May 22, 2011

Balada Hiba Anak Yatim Taqwa

Jam seawal pagi itu ada balada diselubung duka
anak yatim tertimbus runtuhannya berlaku tetiba
tika mata enak diulik mimpi damba penuh aksi ceria
Hulu Langat menyaksi pergelutan penghujung nyawa
menimbus runtuhan dalam tenggelam antara percaya
Felcra Semungkin telah merakam runtunan jiwa
hujan lebat sebelumnya menjadi petanda bermula
anak-anak bakal berpisah jua dengan rakan sebaya
mereka diangkat penuh hiba tanpa diusap ayah bonda
kematian mereka diratapi bersama sejambak doa taqwa

Saturday, May 21, 2011

Agenda Transformasi Minda

Transformasi minda agenda utama
menyedarkan rakyat dari terlena
usah jadi insan yang dihina
gagal menggapai arus perdana

Bukan mudah mengubah minda
kuatkan tekad azam dan daya
semangat kerja dibalut usaha
gerakkan minda di orbit jaya

Pemimpin rakyat mesra berhemah
besar jiwanya menghadapi karenah
bukan sekadar pandai berceramah
peribadinya mulia benci mazmumah

Minda yang baik sentiasa terbuka
senang berkira banyak perkara
berkongsi idea menerimapun sama
sahsiah disempurna dalam neraca

Usah angkuh bertindak menyombong
hingga dijadikan ayam sabung
patutnya kita sentiasa berhubung
bukannya kilat sabung menyabung

Cerminkan diri amalan terpuji
elakkan dari mengumpat keji
majukan diri binalah siasi
biar bebunga mekarnya mewangi

Monday, May 16, 2011

Ummu Aiman

Hamba sahaya bisa merubah minda pesimis hawa
dikasihi Nabi mulianya dianggap pengganti bonda
hijrah mengering kakinya dalam kehausan puasa
air anugerah Allah dari langit hilangkan dahaga
dalam cedalnya masih berbicara amal bakti setia
kendatipun usianya tua sempat mengabdi tenaga
pemanah kental dan pengubat luka waktu perang tiba
dia mengabdi diri setiap gerak daya di medan jaya

Diburu Waktu (Untuk Isteri Ku)

Keletihan bersimpuh dimata mu
seharian berpenat peduli lesu
malam rehat mu terus diburu
melihat tidur anakku terganggu
mampu menguliknya dalam menunggu
lelap anakku tidak diganggu waktu
kau pamer kasihmu damba seorang ibu
berlarutan mencengkam aku dalam kelu
aku cuma mampu mengetuk pintu kalbu
malu kerana layak menjadi tunggul kayu
membiarkan kepenatan mu tanpa membantu
rupanya aku menjadi penzalim yang termangu

Sunday, May 15, 2011

Dalam Seksa Air Mata (Mengingati Ulang tahun 63 Nakba)

Dari Pelabuhan Al Arish bersama pedih luka yang dibawa
merentasi Terusan Suez yang banyak menyimpan cerita duka
menuju ke Rafah untuk dibuka semula sejarah hiba nestapa
rakyat diratah oleh bedilan gila dari gangster yang celaka
ratusan ribu penduduk diusir kejam dari tanah asal mereka
Yahudi terbentuk dari himpunan roh terseksa bersama air mata
sejarah kekejaman tetap dikenang dalam lipatan dosa

Tuesday, May 10, 2011

Untuk Mu Ayah

Melihat kepenatan ayah yang bersimpuh letih
membesar aku dalam daif setelah lama merintih
aku hampirinya sambil menghulur segelas air kasih
aku dililit sedih melihat muka ayah berkedut jerih
kesabaran hidup terlukis pada peromannya yang bersih
betapa mendalamnya alur kasihku sesejuk biji selasih
lama disimpan mulai aku bertatih hingga menyebutnya fasih
dewasaku membayangi hidupanmu bagai membilang jumlah tasbih
Ayah,tenangmu kini bersama alunan wirid dalam doa bersilih

Seorang Guru Itu

Seorang guru itu menjadi pelita hati
seorang guru itu tali temali berganti
seorang guru itu tidakkan berjiwa mati
seorang guru itu cekap daya mengerti
seorang guru itu mindanya kerdipan api
seorang guru itu tajam matanya bertaji
seorang guru itu mengikis rekahan daki
seorang guru itu mulianya berdarjat wali
seorang guru itu matinya dipusara suci
kekal diberkati berkat doa penghuni bumi

Friday, May 6, 2011

Syair Melarat

Melayu terus berpecah belah
sukar berbicang enggan mengalah
rela perselisihan digaris parah
Namun diri tak rasa bersalah

Telah diperingat sudah dinasihat
namun degilnya kukuh terpahat
sukar dibina semangat muafakat
perpaduan diucap dibenci pekat

Masing pihak gunakan sentimen
agama dan bangsa jadi laungan
sukar berdepan cari penyelesaian
dibiar berterusan kematian jalan

Nasib bangsaku semakin malang
nasihat berguna terus dihalang
sama sebangsa dianggap petualang
putus hubungan dikerat melintang

Syair Melarat menjadi taruhan
mohon Allah tunjukkan jalan
tangan dihulur pulih jalinan
agenda perpaduan jadi gagasan

Wednesday, May 4, 2011

Laut Srikandi

Nama besar terus menyemarak dalam ledakan api
tidak gentar ketika diri diburu iguan ngeri
melawan barat sanggup berjihad dalam realiti
digeruni musuh lelah memburu hingga ke akar umbi
dikepung berhari-hari dalam imbasan tanpa peduli
berhabis lawan sampai gugur dalam denyut nadi
di dasar panorama laut nian tempat singgahan semadi
ombak lantas menerpa mesra menyambut seorang srikandi

Monday, May 2, 2011

Ingatan Bonda Mengiya Segala

Sewaktu bonda masih ada
dibekal semangat azimat pusaka
percuma namun mahal harganya
untuk dibawa dihari muka

Kata bonda dalam maknanya
mengurus keluarga umpama
melepasi ujian meniti kaca
perlu kekuatan mental jiwa

Dulu perilaku menyengat mata
bonda kerap gabra dalam damba
nasihat dilupa bersilangkata
hingga tertusuk perasaan bonda

Setelah dua dekad bonda tiada
wajah anakku berkumpul di mata
azimat pusaka bersimpuh di minda
wajah bonda muncul seketika
pancaran matanya mengiya segala

Wednesday, April 27, 2011

Pujukan Hati

Ku pujuk hati agar tidak ambil peduli
tohmahan bertubi menyerang membutatuli
pedihnya amat dirasai sukar jua berkongsi
ku pendam seksa peri dalam putaran hari
bisa ku pohon diri menjadi sekental besi
agar armada hati mampu belayar dilautan api

Tuesday, April 26, 2011

Mekar dalam Roh Bangsa (Buat Ayahanda Dr. Mahathir)

Tuturnya bisa menawan sesiapa
penuh ilusi harmonika sentuhan jiwa
tulisannya menjana ranumkan idea
akalnya tajam menembusi kaca minda
mengukir negara dalam acuan sketsa

kasihnya berbingkai dalam mata
mesra membingkis untaian kata
ikhlasnya dalam belahan dada
ingatannya tidak pernah cedera
kehebatannya diperjalanan usia
kekuatannya dalam roh bangsa
namanya harum mewangikan dunia

Sunday, April 24, 2011

Mengesahkan Kebenaran

Aku sempat membuat catatan
hal penting tentang kehidupan
nilai moral yang terhumban
bahasa ringkas mengesankan
untuk rujukan dan tindakan
namun tidak dapat diuruskan
kurang saksi yang diperlukan
bagi mengesahkan kebenaran
dari catatan sebuah perakuan
yang memungkinkan aku ditahan

Suram Dalam Gemerlapan

Pesta hiburan nian ligat berputar menarik sokongan
riuh sorakan melampaui garisan sempadan keturunan
pelbagai gelagat mudaan curi tumpuan generasi jalanan
sedang pesta buku rangkaknya perlahan tidak dipedulikan
medan ilmu bertukar harapan menjadi mangsa kesan rasukan
misi hiburan terus menjajah siang malam membunuh harapan
masalah sosial makin terhumban dibalik tirai perjuangan
generasi ilmuan terus suram dalam pancaran neon gemerlapan

Wednesday, April 20, 2011

Betapa Kasihkan Bangsa

Ingatan Orang Tua-Tua :

Usah diperdagangkan maruah bangsa
kelak merana dipenghujung masa

Akan tiba suatu ketika
bangsa dilupa malah teraniaya

Melayu itu berpecah-pecah
retak melebar menunggu musnah

Hilang pedoman hilang panduan
lawan disangka kawan seperjuangan

Musuh menyerang bangsa sendiri
sedang bangsaku tumpang sekaki

Apabila Melayu mulai sedar
dikutuk bagai kurang ajar

Ingat pesanan hulubalang Hang Tuah
moga Melayu tidakkan pasrah

Jangan Melayu menjadi sejarah
bangkitnya sukar selepas alah

Sunday, April 17, 2011

Naluri Kita

Berita yang baru diterima
riak peroman tua memaut jiwa
pancaran mata menjadi petanda
belahan dada untaian makna
menadah gembira dalam teruja
hajat dipenuh matlamat dijaya
menolak kerana dibalut kecewa
tidak menepati apa dijangka
walaupun isi dan bukti nyata
diperkukuh hujahan fakta
rupanya naluri bercabang dua
menerima untuk menolaknya sekata

Wednesday, April 13, 2011

Catatan Dinihari

Sesekali menaiki keretapi
terasa sepi terasa mimpi
penumpang lali berdiam diri
merenung jauh sebuah elegi
sukarnya diri berkomunikasi
menghidupkan suasana sunyi
cuma bertemankan bunyi
muntahan keretapi sesekali
menghidupkan sebuah memori
dalam catatan dinihari

Friday, April 8, 2011

Ijtihad Yang Disalahtafsirkan

Susahnya menyakinkan manusia
apabila berpegang kepada bara
api menyala disangka cahaya
dipegang kemas sukar dilepaskan
sedang kebenaran atasi kebatilan
kebatilan tetap dianggap jalan
masing-masing membuat tafsiran
hingga menjadi ijtihad sendirian

Antara Benar dan Dusta

Rakyat mula teraba-raba
dalam mencari isi fakta
antara benar dan dusta
sukar menentukan semua
dek kematian ilmu agama
nafsu menguasai minda
meneka dalam samar senja
tidak dapat dibeza jua
antara lotong dan kera
antara itik dan angsa
antara suasa dan tembaga
antara jenaka dan fatwa
antara parti dan agama
semuanya tanpak serupa
sedang jauh beza antara
kecuali yang rosak minda

Thursday, April 7, 2011

Disebalik Banjir Melanda

Banjir yang melanda
banyak menginsafkan kita
air yang ngalir semasa
membersih kotoran muka
melebur dosa manusia
supaya tidak haloba
bersyukur apa yang ada
tidak ghairah mencerca

hayutkan adu domba
cerai-beraikan haloba
bersaing merebut kuasa
hingga melalaikan manusia

Banjir yang tiba rupanya
dapat menyedarkan semua
untuk sentiasa bekerjasama
demi menyelamat dan membina
kehidupan yang lebih selesa
melalui bantuan segera

Tuesday, April 5, 2011

Cerita Kuching Dengan Memerang

Sukar percaya pabila kucing bertukar gaya
konon baik lakunya berubah tetiba menjadi singa
murkanya tiada terkira setelah rahsia dibuka
kucing raut mukanya tanpak berahsia segala-gala
dibaham daging bersahaja tatkala ikan dipinta
mengaku bukan amalannya sama apa yang dipercaya
dipersalah memerang yang dikatanya bisa bermuka-muka
sedang kucing itu nafsu seliranya amat luar biasa
tidak mudah untuk dipercayai kalau kita bercerita
auranya mampu mempengaruhi binatang seluruh desa

Monday, April 4, 2011

Ghulaw Yang Menguasai Hati

Taksub itu adalah ghulaw yang menguasai hati
tidak makan pujukan pasti walapun diberi bukti
sukar tercabut dari diri walau diperjelas bertubi
terus mencaci dan menyerang pihak pemberi bukti
kebenaran dibasmi disebalik riak pesemis diyakini
hujah dan bukti dihanyuti sedang emosi menguasai
kebenaran terbukti namun kepalsuan tetap dinanti
semangat ketaksuban kuasai diri kekalnya sampai mati

Saturday, April 2, 2011

Memburu Tranformasi Baru

Melihat cerun hutan lalu yang curam membisu
alur sungai lesu yang panjang berliku malu
dan ketulan batu rencam tajam yang terlalu
banir licinnya ngilu dikeliling sembilu talu
usah biarkan haru dek terlalu jemu menunggu
bergayutan pada cabaran waktu yang meluru kelu
kita masih berpeluang memburu tranformasi baru
dalam langkahan padu walau berbatu-batu diganggu

Tuesday, March 29, 2011

Merempuh Kehidupan

Merempuh cabaran kehidupan
maksudnya sedia berdepan
rintangan dan kepayahan
tekanan dan kekecewaan
bisa melilit diseluruh badan
kehidupan tetap diteruskan
halangan tidak memberi kesan
meskipun pundak bebanan
menyukarkan redahan hutan
namun bakul kesabaran
penerus iltizam perjuangan

Monday, March 28, 2011

Sungai Rejang Dalam Likuan Perang

Sungai Rejang kembali gelora dalam tenang
kapal perang bersama panglima datang bergadang
rakyat diuji dengan asakan bersilang galang
perang kumpulan perang politik perang dalang
rakyat kan mengesan siapa jalang siapa pejuang
siapa pembohong dan pembelit dalam politik wayang
demi bangsa dan darah keturunan yang setianya memanjang
usah biarkan diri kempunan hanyut mencari laluan pulang
keputusan dibuat bakal penentu masa depan nan gemilang

Thursday, March 24, 2011

Hanyutan Masa

Dunia dicabar inovasi daya
berubah segala sekelip mata
mengubah warna menukar rupa
membius akal menjerut cicita
meroboh naluri jiwa nan lara
kemanusiaan hilang di penjara alpa
tenggelam dalam hanyutan masa
kita menjadi robot bernyawa

Tuesday, March 22, 2011

Dalam Lipatan Sejarah

Sejarah dulu ada menyebut :

Dang Nila memangku puan
berembang buah pedada
apakah gila bagi mu tuan
burung terbang dipipiskan lada

Telur itik dari Singgora
Pandan terletak di Langkahi
darahnya titik di Singapura
badannya dihantar ke Langkawi

Sejarah kini bersambut :

Dang Nila memangku puan
beremban buah pedada
hilang keyakinan pada mu tuan
isu panas belum reda-reda

Telur itik dari Singgora
Pandan terletak di Langkahi
darah setitik untuk di bicara
badannya bernafsu menyalahi

Dunia Digegar Lagi

Dunia digegar pelbagai tragedi
Jepun dicabar ancaman Tsunami
Libya diserang bertubi kali
pakatan barat bersatu halanya pasti
minyak dan gas cecair asli menanti
Iraq rakyatnya tunjuk perasaan berulang kali
karenah barat timbulkan rasa tidak puas hati
bercampur masalah sosialisasi bersimpul tali
Jordan pula rakyatnya menentangan kenaikan komoditi
ekonominya kian menyepi kadar penganggurannya tinggi
Sudan dengan tunjuk perasaan komuniti pelbagai aksi
Tunisia menentang pemerintahan otokrasi
berterusan ke Yaman yang digerakkan pro demokrasi
sedang Malaysia bergegar dengan isu DNA dan sodomi

Monday, March 21, 2011

Al Ahzab Hadir Mu Mengingatkan Aku

Gendang perang dipalu dalam suasana dunia terharu
manjanik peluru tidak lama menunggu untuk memburu
tembakan tomahawk dilepas bertalu-talu dalam debu
pesawat jenis Mirage 2000-9 dilihat turut membantu
kepulan asap sendu berarak bagai awan kelabu
kentalnya rakyat pertahan diri dari belenggu
walaupun mudahnya untuk dimamah satu persatu
al ahzab hadirmu mengingatkan aku
betapa seekor kaldai yang lemak berdagu
sering diratah kumpulan singa yang berlalu
alasannya diragu menjadi haiwan pengganggu
dan Libya mangsa terbaru kerakusan kumpulan itu
dunia Islam menjadi kelu dan termangu

Wednesday, March 16, 2011

Memerangi Hati

Kita lancarkan perang dalam diri
makna tersiratnya menyusun strategi
memagar kalbi dalam kota seketul hati
yang tidak pernah henti sifat mengeji
hingga mampu menakluki empayar nafsi
telah dihendap hari-hari untuk mengisi

Usah menuding jari untuk menyalah
mata akal dan mulut serta lidah
tidak kan mampu selesaikan masalah
ketiga-tiganya tetap tidak bersalah
daging seketul itu yang tidak amanah
untuk menjaga tuannya secara berhemah
tidak hanya tahu mengarah menerjah
tanpa mengira iman rela menjurus amarah
mudah naik darah hingga hilang arah
ketulan itu tidak pernah merasa bersalah
apalagi menerima natijah dalam pasrah
kehidupan tuannya berjaya dalam musnah

Musuh hati mesti diperangi tanpa henti
laluan mudah mendapat keredaan Ilahi

Monday, March 14, 2011

Dari Kashiwazaki Ke Timur Honshu

2007 masih segar mengingati
gempa bumi meledak di Kashiwazaki
wilayah Niigata digegar amukan tragedi
hilang hanyut hati manusia seluruh penghuni

Mac 2011 kembali mengguncang ketenangan bumi
gementar yang mendebar dalam gegar berganda kali
perairan Timur Honshu menjadi saksi yang pasti
bagaikan Hiroshima dan Nagasaki dibom ngeri
bumi berguncang diuli berkali bagai dijampi
ombak laut alun bilut tinggi sepuluh kaki
Tsunami menyerang tanpa belas tanpa peduli
jauh sekali menaruh simpati untuk mengerti
kehidupan tenggelam dalam realiti mimpi
nyawa bergelut sampai akhir nadi berhenti
negara teknologi tinggi bisa melutut ke bumi
pasrah mengisi tidak mampu berbuat apa lagi
kita simpati mengharap penduduk cekal hadapi
moga negara ini kan dilindungi dari belahan bumi

Friday, March 11, 2011

Timur Tengah Dalam Igauan

Timur Tengah langitnya kelam ambal-ambalan
percikan kemarahan bisa memuntahkan keberanian
suara rakyat suara penentang berterus-terusan
arahan musnah bertaburan gerak memecah kekuasaan
cuba dipertahan sejak berzaman dengan ugutan
jiwa meronta merentas masa dalam kebencian
rempuh sekatan penuh halangan dipagar zaman
membakar kesangsian terus mengejar masa perubahan
semangat kental melepasi sempadan dalam cabaran
sama bergerak hilang ketakutan mencuri sokongan
panji dipegang tanda kemenangan dalam igauan

Wednesday, March 9, 2011

Gurindam Hati Nan Rawan

Bila terkena empunya diri
tiada lagi umpat dan keji

Bermula keburukan diri terdedah
selepas berbuat tohmah dan fitnah

Sedarlah diri makin dibenci
asal puncanya maki dan caci

Tiada lagi kata nista
terjerat diri dalam berkata

Terimalah kesan tabiat berdusta
tidak dipeduli sahabat keluarga

Telah beralah penyakit angkuh
empunya badan kian lumpuh

Mudah berjangkit penyakit hati
punca amalan benci membenci

Gurindam rawan sekadar ingatan
jangan berkawan dengan syaitan

Api dan Angin

Mengerdip api dalam dada
tiada asap ketulan bara
panasnya menyambar mata
bahangnya menyambar muka
hilang dek angin menyapa

Angin memecut pantas menerpa
lajunya pasti diluar jangka
memberi isyarat petanda mula
kebencian rakyat amat ketara
lelong syurga pasaran terbuka
menagih undi cara bahaya
kelak terbang pesona goda
deru dibawa angin hampa
sebagai alamat sebagai petanda
mampu meruntuhkan kota pusaka

Sunday, March 6, 2011

Makin Terjerut

Melihat semuanya buruk
mencaci begitu teruk
tidak terasa diri berparut
tidak sedar fitnah berpaut
diracun bisa fatwa karut
halal segala dalam kalut
bebas menghina sambil mencarut
sedang iman makin terjerut
umpama jadi mangsa peragut

Fatwa Air Nira

Betapa mudahnya memberi fatwa
urusdagang waktu pilihanraya
bandingan seperti air nira
dimanfaatkan seboleh yang ada
halal semasa turun dari kelapa
haram tatkala masam terasa
halal semula sewaktu menjadi cuka

Selepas Pilihanraya

Selepas pilihanraya
wajah bertukar warna
rebah dalam upaya
resah tidak berjangka
terasa sukar menerima
keputusan dalam hampa
selepas berhempas kerja
memerah akal minda
tajam membelah dada
mengoyak segala rahsia
terungkai segala-gala
dalam hirisan mata

Friday, February 25, 2011

Tafsir Mimpi

Tatkala cerah datang gelap mengisi
semasa gelap muncul cerah berkongsi
gelap dan cerah mampu bersekali
tafsirkan sebuah mimpi yang realiti

Tuesday, February 22, 2011

Cermin Diri

Melihat cermin diri
ada tompokan hasadi
mula melebar di hati
segeralah ubati
agar hidup diredai
jambaknya tidak mati

Friday, February 18, 2011

Kerdau Nan Satu

Lirikan Kerdau menawan kalbu
ditumpu bagai puteri beradu
medan rebutan dalam tandu
dua hulubalang pasti bertemu

Pekan kecil bersimpuh malu
tamukan dilayan tanpa jemu
bersendi tongkat adat melayu
bertahan kekal dipacu waktu

Kerdau malamnya kian ditunggu
segar diulik lagu merayu
rentak dialun mendayu-dayu
hanya menagih undi nan satu

Mohon dielak kempen terlalu
kawan rapat bertukar seteru
suami isteri bertalak satu
hidup bermasyarakat kian celaru

Jadilah kita manusia matang
elakkan dari bersifat binatang
agar perpecahan dapat dikekang
tidakkan senasib manusia malang

Thursday, February 17, 2011

Kasih Ku Tak Pernah Luput

Namamu Rasul kian ku rebut
luahan cintaku makin bersambut
mayang jiwaku alunan bilut
kalbuku gementar dalam lembut
lidahku terkapai mampu berpaut
namamu ku sebut dalam kabut
kesibukan waktu makinku kalut
namun ingatanku tidak pernah luput
agungnya kasihku membiru laut

Merlimau Yang Menyala

Merlimau dari Pekan sepi
kini menyala dibakar api
di pentas dan kedai kopi
isu dibawa tali-temali
fitnah seranah mainan hari
didedah londeh soal peribadi
mencarut mencerca menuding jari
lakonan hidup makin menjadi
surah dibaca berkali-kali
konon untuk menarik simpati

Merlimau malamnya terus hidup
adat dan sopan semakin lingkup
sarbat perpecahan terus dihirup
bangsaku bilakan bertangkup

Tuesday, February 15, 2011

Sejarah Itu Adalah Kita

Sejarah adalah rakaman peristiwa
berpusing ikut lingkungan masa
dalam putaran yang tidak dirasa
berselang antara ceria dan hiba
untuk panduan kehidupan semasa
khabar duka dan berita gembira
bersilang waktu bersilang jangka
mungkin sejarah dulu menjelma
dalam bentuk dan rupa yang sama
cuma kita tidak menduga
kerana sejarah itu adalah kita
yang sering tersenyum di mata
dan menangis di pinggir dada

Monday, February 14, 2011

Hati Seorang Lelaki

Hati seorang lelaki
tidaklah sekeras besi
tidaklah sekuat jeriji
sampai membayangi isteri
hingga takutnya terperi

Hati seorang lelaki
bisa ditembusi
jauh kejantung hati
ulikan kata sakti
dengan bahasa puisi

Hati seorang lelaki
boleh menjadi
sejuk bagai salji
andainya seorang isteri
dapat menyakini suami
hatinya bertahan suci
setianya bersimpul mati

Saturday, February 12, 2011

Bezanya Selira

Sekali-sekala bersantai makan
bersama keluarga gembira sakan
walau berlaukkan ikan singgang
sambal belacan dan ulam-ulaman
dipetik segar dibelakang laman

Sekian lama hasrat terpendam
ulam ditanam pengganti bungaan
cantik dipandang lagi menawan

Rupanya tanaman usaha sendiri
nikmatnya tersimpan berhari-hari
seliranya penyeri dalam naluri
tidak sama apa yang dibeli
selira dibayar dengan cemati
setiap suapan nilainya gaji

Nilai Keamanan

Udara nyaman pagi nan tenang
awam gemawan berambal-ambalan
kehijauan pepohon mendamaikan
indah dan cantiknya lukisan alam
anugerah yang tiada bandingan

Namun kehidupan berubah semerta
langit yang cerah bertukar warna
asap memenuhi ruang terbuka
api membakar menyambar sesiapa
ika kehidupan bertukar warna
menghimpun jaluran lautan manusia
bertempur jiwa dengan suasana
bisa mendera ketenangan dunia

Dua potensi dimensi berbeza
lembangan Nil dan negara kita
bernafas dalam edaran masa
pembuluh darah alirnya serupa
denyutan nadi yang berbeza
mampu membuat keputusan berharga
nilai keamanan melampaui segala

Monday, February 7, 2011

Menapis Kata-Kata

Tapislah kata-kata dengan cermat
agar kotornya tidak melarat
bersekali dengan kumbahan berat
mengapung fitnah dan dendam kesumat
lebar meluas tanpa mampu disekat
hilang saudara kawan dan sahabat
kata yang terhambur cepat melekat
terpalik semula bagai disiat-siat
akhirnya kita melarat dan merempat
akibat mainan kata tanpa ingat
pulang bisanya seperti siku lipat

Wednesday, February 2, 2011

Kaherah Yang Rebah

Kaherah rebah
laungan berdarah
harga maruah
dibayar pasrah
rakyat meredah
walau diterjah
daya bersimbah
disebalik amanah
diratah punah

Kaherah diambang
ambalan kehancuran
melebur kerakusan
dengan keyakinan
harapan kesyukuran
Nil akan saksikan
sejarah mendapan
kembali tersimpan

Sunday, January 30, 2011

Jiwa Seorang Wanita

Wanita itu jiwanya bergegar
berjuang di atas mimbar
bertekad dalam debar
rela diburu dan dilontar

Serangan bagai lilintar
peluru blog dan pesanan berlembar
nalurinya yang kental itu mendatar
kekuatannya kian bertukar
berubah menjadi hambar
menyerah dan terdampar
akhirnya rebah dalam sangkar

Friday, January 28, 2011

Hujan Di Tenang

Hujan di Tenang di luar jangkaan
bahang panas kian berkurangan
cacian dan tohmohan dilarutkan
beberapa ketulan sisa dendam
dan longgokan sampah kebencian
dihanyutkan perlahan-lahan

Semua yang berlaku mengesankan
hanya tinggal luka perasaan
sakitnya kian memanjang
bercampur gurisan dendam
kumin-kumin kepuakan
menjadi rekahan asingan
begitu sukar untuk disatukan
disebalik laungan kemenangan
dalam banjir yang menenggelam

Thursday, January 20, 2011

Malaysia Nan Satu

Anak kecilku mungkin keliru
antara Hari Raya dan Tahun Baru
perlu diraikan yang mana satu
dia dan kawannya hanya tahu
betapa meriah perayaan itu
pelbagai penjuru tetamu dijamu
jalinan mesra anyaman kalbu

Dua budaya yang tepu
bertemu dengan ikatan padu
indahnya Malaysia nan satu
limpahan doa pemimpin dahulu
dihirup rasa generasi baru
sambil melangkah berganding bahu
bertekad bersatu dengan restu
ceria berarak awan membiru

Wednesday, January 19, 2011

Seni Politik

Politik itu alur yang diredah
perjalanan dilalui tidak mudah
serangan dari segenap arah
tidak rela menyerah kalah
seketul hati berlilit megah
perlu kental dalam pasrah
walau ditendang diterjah

Politik itu mainan seni
setiap gerak mesti berhati
irama digaya dengan tari
bunga lintuknya kena halusi
rentak dialun biar selari
pincang tarian hancur seni
bisa mati sambil berdiri
apa lagi kalau berlari
rebahnya tentu meluluh hati
mainannya perlu berhati-hati
agar tidak ditikam curi

Seteru yang dulu menjadi teman
kawan sepasukan bertukar lawan
upaya membunuh dengan senyuman
sukarnya ditafsir segala tindakan
seninya indah tambah menawan

Tuesday, January 18, 2011

Pancaran Warisan

Sukarnya menghasilkan nukilan
sama seperti membina bangunan
sarat dengan muatan perasaan
bahasa indah dan mengesankan
berdaya tahan dari tekanan
sedang pemuka berkepentingan
desakan perasaan nilai dimusnahkan
sedang binaanya amat menyukarkan
bersumberkan minda berdakwatkan cabaran
boleh musnah dalam alur linangan
dimamah nukilan penuh kekejaman
dihancur musnah dek ketidakpuasan
alasan menyentuh soal perkauman
karya ditikam habis-habisan
kesenian adalah pancaran warisan
harganya dibayar oleh zaman

Wednesday, January 12, 2011

Madah Ingatan

Jangan ditanya mengapa Melaka
hilang ketuanan berabad lama
nikmat musnah akibat sengketa
penyakit lama berbangkit semula

Banyak fitnah banyak tohmah
konon mengaku jadi karamah
saudara sahabat menjadi alah
musuh dilayan penuh berhemah

Batu api menjadi taulan
bangsa sendiri diperang habisan
kerana tertelan dek angan-angan
kuasa musnah hilang berterbangan

Apabila kuasa bertukar tangan
masing-masing melepas perasaan
ketua kumpulan saling menyalahkan
konon tidak mengambil tindakan

Memang mudah menuding jari
salahkan orang senang sekali
tidak menyedari kesilapan diri
anjing yang tamak selalu rugi

Madah ini mesti diteliti
agar tidak berulang lagi
jangan sekali lupakan diri
kuasa dipertahan demi pertiwi

Tuesday, January 11, 2011

Sampah Hati

Dia pemungut sampah mencari
longgokan timbunan berisi
demi nafkah anak dan isteri
tidak malu tidak jua peduli
digagahi dengan hati-hati

Namun tergamannya pasti
kali ini luar biasa sekali
dibungkus bagai ketulan ubi
ditarik masih bertali di sisi
seorang bayi bersimpuh mati

Dia sendiri sukar mengerti
betapa dosa mainan naluri
disembunyi bersama sampah hati
baunya dihidu penghuni bumi

Melodi Pilu Sebuah lagu

Tenang tiba-tiba bergelora
dengan serangan kata-kata
laksana mortar dan bom jangka
batu api berperanan utama
adu domba antara dua saudara
atas persaingan dan sengketa
agama dan surah terus dijaja
fatwa segera muncul tiba-tiba
demi kepentingan dua mata

Tenang menyaksikan sengketa
bangsaku lebih berani mendada
rahsia demi rahsia dibuka
hilang maruah hilang harga
aib saudara belahan dada

Sayang bangsaku bijaknya terlalu
anak cucu hidupnya kian termangu
Tenang sebuah melodi pilu dari lagu
nyanyian syahdu anak generasi baru

Mencari Penggerak Zaman

Dalam pencarian yang berterusan
ulama hakiki penghujung zaman
tidak mentafsir ikut kepentingan
menjaga lidah dan perkataan
tidak angkuh dengan ilmuan
tidak mencerca lawan dan rakan
rendah diri berbalut nilai kesopanan
jauh dari salah tanggapan dan tohmohan
apa lagi fitnah dan hasutan
tidak mengutamakan puak dan kumpulan
melebihkan keamanan dalam perpaduan
ummatan wahidah simbol penyatuan
tidak memerlukan gelaran dan pujian
tidak bernafsu keduniaan dalam menagih kebendaan
tidak berdendam dan tidak mendoakan keburukan
apalagi kemusnahan dan kehancuran untuk insan
sentiasa menjaga tata kehidupan amalan pergaulan
nun jauh melihat nasib dan masa depan kesatuan
sedar akan ikatan dalam semangat persaudaraan
ummah sezaman digerakkan dalam kesabaran
tidak menuding kesalahan dan kepincangan
memohon keampunan atas kelemahan
memohon keberkatan dalam keredaan
imej diri tidak sekali diperdagangkan
apa lagi digunakan untuk keangkuhan
setelah diktiraf manusia berkepentingan

Penggerak zaman adalah pemusnah kepuakan
penggerak zaman adalah nakhoda kegelapan
cahaya mengerdip dari celahan bintang

Friday, January 7, 2011

Keyakinan Dan Kesabaran Diri

Anakku merungut setiap kali
biji kuaci yang diberi
katanya betapa penat mencari
isi yang terpaksa dipecah biji
kunyahan berkali tanpa henti
membosankan diri mendera hati

Itulah makna hakiki insani
terkandung padanya isi dan erti
ketabahan dan kesabaran diri
diuji berkali-kali hingga nanti
biji kesabarannya tidak berisi
tersimpan pada di urat nadi
berkat keyakinan diri
hasil ketabahan hati

Thursday, January 6, 2011

Tenggelamnya Episod Setia

Betapa tercalar maruah bangsa
nilai ketaatan tiada harga
bertukar biasa menjadi terpaksa
atas kesetiaan dilakon cuma

Bangsaku tidak pernah mengejar
untuk berkelakuan kurang ajar
taat setia semakin hambar
raja dijunjung mainan di pagar

Siapa mereka berlakuan rupa
tiada meresap hormat dan setia
emosi dihambat melepasi kepala
bersultan di mata hirisan jiwa
bertuan dendam rosak segala

Tiada lagi nilai seorang hamba
melayu itu derhakanya tiada
apalagi mencabar secara terbuka
dek menjaga rakan nun di sana
hanyut luncai dengan lelabunya
lemasnya terasa amukan jiwa
terungkai sudah episod setia
telah dipertahan berabad lama

Monday, January 3, 2011

Catatan Hari Pertama

Melihat senyum anak ku sewaktu
melangkah ke sekolah dengan restu
berlapang dada bersandar bahu
melabuh harapan didada waktu
mendapat panduan dan ilmu baru

Pabila pulang semula ke pangku
anak sekolahanku memberitahu
tidak ada apa yang dia ketemu
melainkan kawan-kawan yang bisu
cikgu yang melekat dibangku