Tuesday, March 29, 2011

Merempuh Kehidupan

Merempuh cabaran kehidupan
maksudnya sedia berdepan
rintangan dan kepayahan
tekanan dan kekecewaan
bisa melilit diseluruh badan
kehidupan tetap diteruskan
halangan tidak memberi kesan
meskipun pundak bebanan
menyukarkan redahan hutan
namun bakul kesabaran
penerus iltizam perjuangan

Monday, March 28, 2011

Sungai Rejang Dalam Likuan Perang

Sungai Rejang kembali gelora dalam tenang
kapal perang bersama panglima datang bergadang
rakyat diuji dengan asakan bersilang galang
perang kumpulan perang politik perang dalang
rakyat kan mengesan siapa jalang siapa pejuang
siapa pembohong dan pembelit dalam politik wayang
demi bangsa dan darah keturunan yang setianya memanjang
usah biarkan diri kempunan hanyut mencari laluan pulang
keputusan dibuat bakal penentu masa depan nan gemilang

Thursday, March 24, 2011

Hanyutan Masa

Dunia dicabar inovasi daya
berubah segala sekelip mata
mengubah warna menukar rupa
membius akal menjerut cicita
meroboh naluri jiwa nan lara
kemanusiaan hilang di penjara alpa
tenggelam dalam hanyutan masa
kita menjadi robot bernyawa

Tuesday, March 22, 2011

Dalam Lipatan Sejarah

Sejarah dulu ada menyebut :

Dang Nila memangku puan
berembang buah pedada
apakah gila bagi mu tuan
burung terbang dipipiskan lada

Telur itik dari Singgora
Pandan terletak di Langkahi
darahnya titik di Singapura
badannya dihantar ke Langkawi

Sejarah kini bersambut :

Dang Nila memangku puan
beremban buah pedada
hilang keyakinan pada mu tuan
isu panas belum reda-reda

Telur itik dari Singgora
Pandan terletak di Langkahi
darah setitik untuk di bicara
badannya bernafsu menyalahi

Dunia Digegar Lagi

Dunia digegar pelbagai tragedi
Jepun dicabar ancaman Tsunami
Libya diserang bertubi kali
pakatan barat bersatu halanya pasti
minyak dan gas cecair asli menanti
Iraq rakyatnya tunjuk perasaan berulang kali
karenah barat timbulkan rasa tidak puas hati
bercampur masalah sosialisasi bersimpul tali
Jordan pula rakyatnya menentangan kenaikan komoditi
ekonominya kian menyepi kadar penganggurannya tinggi
Sudan dengan tunjuk perasaan komuniti pelbagai aksi
Tunisia menentang pemerintahan otokrasi
berterusan ke Yaman yang digerakkan pro demokrasi
sedang Malaysia bergegar dengan isu DNA dan sodomi

Monday, March 21, 2011

Al Ahzab Hadir Mu Mengingatkan Aku

Gendang perang dipalu dalam suasana dunia terharu
manjanik peluru tidak lama menunggu untuk memburu
tembakan tomahawk dilepas bertalu-talu dalam debu
pesawat jenis Mirage 2000-9 dilihat turut membantu
kepulan asap sendu berarak bagai awan kelabu
kentalnya rakyat pertahan diri dari belenggu
walaupun mudahnya untuk dimamah satu persatu
al ahzab hadirmu mengingatkan aku
betapa seekor kaldai yang lemak berdagu
sering diratah kumpulan singa yang berlalu
alasannya diragu menjadi haiwan pengganggu
dan Libya mangsa terbaru kerakusan kumpulan itu
dunia Islam menjadi kelu dan termangu

Wednesday, March 16, 2011

Memerangi Hati

Kita lancarkan perang dalam diri
makna tersiratnya menyusun strategi
memagar kalbi dalam kota seketul hati
yang tidak pernah henti sifat mengeji
hingga mampu menakluki empayar nafsi
telah dihendap hari-hari untuk mengisi

Usah menuding jari untuk menyalah
mata akal dan mulut serta lidah
tidak kan mampu selesaikan masalah
ketiga-tiganya tetap tidak bersalah
daging seketul itu yang tidak amanah
untuk menjaga tuannya secara berhemah
tidak hanya tahu mengarah menerjah
tanpa mengira iman rela menjurus amarah
mudah naik darah hingga hilang arah
ketulan itu tidak pernah merasa bersalah
apalagi menerima natijah dalam pasrah
kehidupan tuannya berjaya dalam musnah

Musuh hati mesti diperangi tanpa henti
laluan mudah mendapat keredaan Ilahi

Monday, March 14, 2011

Dari Kashiwazaki Ke Timur Honshu

2007 masih segar mengingati
gempa bumi meledak di Kashiwazaki
wilayah Niigata digegar amukan tragedi
hilang hanyut hati manusia seluruh penghuni

Mac 2011 kembali mengguncang ketenangan bumi
gementar yang mendebar dalam gegar berganda kali
perairan Timur Honshu menjadi saksi yang pasti
bagaikan Hiroshima dan Nagasaki dibom ngeri
bumi berguncang diuli berkali bagai dijampi
ombak laut alun bilut tinggi sepuluh kaki
Tsunami menyerang tanpa belas tanpa peduli
jauh sekali menaruh simpati untuk mengerti
kehidupan tenggelam dalam realiti mimpi
nyawa bergelut sampai akhir nadi berhenti
negara teknologi tinggi bisa melutut ke bumi
pasrah mengisi tidak mampu berbuat apa lagi
kita simpati mengharap penduduk cekal hadapi
moga negara ini kan dilindungi dari belahan bumi

Friday, March 11, 2011

Timur Tengah Dalam Igauan

Timur Tengah langitnya kelam ambal-ambalan
percikan kemarahan bisa memuntahkan keberanian
suara rakyat suara penentang berterus-terusan
arahan musnah bertaburan gerak memecah kekuasaan
cuba dipertahan sejak berzaman dengan ugutan
jiwa meronta merentas masa dalam kebencian
rempuh sekatan penuh halangan dipagar zaman
membakar kesangsian terus mengejar masa perubahan
semangat kental melepasi sempadan dalam cabaran
sama bergerak hilang ketakutan mencuri sokongan
panji dipegang tanda kemenangan dalam igauan

Wednesday, March 9, 2011

Gurindam Hati Nan Rawan

Bila terkena empunya diri
tiada lagi umpat dan keji

Bermula keburukan diri terdedah
selepas berbuat tohmah dan fitnah

Sedarlah diri makin dibenci
asal puncanya maki dan caci

Tiada lagi kata nista
terjerat diri dalam berkata

Terimalah kesan tabiat berdusta
tidak dipeduli sahabat keluarga

Telah beralah penyakit angkuh
empunya badan kian lumpuh

Mudah berjangkit penyakit hati
punca amalan benci membenci

Gurindam rawan sekadar ingatan
jangan berkawan dengan syaitan

Api dan Angin

Mengerdip api dalam dada
tiada asap ketulan bara
panasnya menyambar mata
bahangnya menyambar muka
hilang dek angin menyapa

Angin memecut pantas menerpa
lajunya pasti diluar jangka
memberi isyarat petanda mula
kebencian rakyat amat ketara
lelong syurga pasaran terbuka
menagih undi cara bahaya
kelak terbang pesona goda
deru dibawa angin hampa
sebagai alamat sebagai petanda
mampu meruntuhkan kota pusaka

Sunday, March 6, 2011

Makin Terjerut

Melihat semuanya buruk
mencaci begitu teruk
tidak terasa diri berparut
tidak sedar fitnah berpaut
diracun bisa fatwa karut
halal segala dalam kalut
bebas menghina sambil mencarut
sedang iman makin terjerut
umpama jadi mangsa peragut

Fatwa Air Nira

Betapa mudahnya memberi fatwa
urusdagang waktu pilihanraya
bandingan seperti air nira
dimanfaatkan seboleh yang ada
halal semasa turun dari kelapa
haram tatkala masam terasa
halal semula sewaktu menjadi cuka

Selepas Pilihanraya

Selepas pilihanraya
wajah bertukar warna
rebah dalam upaya
resah tidak berjangka
terasa sukar menerima
keputusan dalam hampa
selepas berhempas kerja
memerah akal minda
tajam membelah dada
mengoyak segala rahsia
terungkai segala-gala
dalam hirisan mata