Wednesday, August 31, 2011

Penat Bonda Dalam Ceria

Kelibat mata bonda berkaca
sewaktu menyambut kami tiba
sembunyikan perasaan hiba
dirinya terpaksa siap siaga
menjadi hamba dakapan ceria
rela berbuat apa sahaja
demi anak menantu tercinta
memasak di dapur dalam lena
cucu dilayan dalam terngaga
anak terima hidangan sedia
dalam riuh bergurau senda
penat bonda pembakar selera

Sunday, August 28, 2011

Menyambut Aidil Fitri

Aidil fitri kini disambut di depan TV
kita bersila seronok sambil memerhati
gelagat manusia, hiburan dan realiti
menggantikan budaya dan ziarah tradisi

Kita hanyut dek khayal limpahan mimpi
mengidamkan kekayaan dan populariti
dipancarkan terus dalam gelombang hati
sedang roh sambutannya tidak dipeduli
segalanya sepi dalam riuh yang cemari
dibalik meriah dan dentuman sana-sini

Rupanya kita lebih seronok bersendiri
padang kemeriahan tidak pernah mengerti
demi meraikan kegembiraan ciptaan emosi
sedang naluri kian bergelut tanpa henti
mencari diri dan makna fitrah nan hakiki

Di Sini Kita Temui

Disini kita kan temui
manusia bernafsu ranggi
semangat cemburu dan dengki
hilang kesabaran mengawal diri
tidak sesekali ambil peduli
risiko cacat, cedera dan mati
dilebuh ngeri romanya berdiri
meratapi sambutan Aidil Fitri


Saturday, August 20, 2011

Kembali Hujan

Hujan yang reda itu
membentuk emosi hati yang haru
dan kelibat panas di muka pintu
terkadang teruja menunggu
dalam jemu merancang sesuatu
tika kebasahan hati kian berlalu
tompok kepanasan tanpak memburu
tetiba ambalan langit meluru
berarak membawa benihan baru
awan kelu bertekad bantu
hujan beradu kembali bertamu
aku pasrah dalam telahan waktu


Wednesday, August 10, 2011

Plot Politik

Sukar mentelaah bacaan politik
plot cerita berbelit bersama gimik
putarannya melilit tetapi menarik
pelaku dalam perit masih mengulik
sedang bahasanya tunggang terbalik
strukturnya lendik dalam dalik
episod politik rebah dalam gedik