Wednesday, January 12, 2011

Madah Ingatan

Jangan ditanya mengapa Melaka
hilang ketuanan berabad lama
nikmat musnah akibat sengketa
penyakit lama berbangkit semula

Banyak fitnah banyak tohmah
konon mengaku jadi karamah
saudara sahabat menjadi alah
musuh dilayan penuh berhemah

Batu api menjadi taulan
bangsa sendiri diperang habisan
kerana tertelan dek angan-angan
kuasa musnah hilang berterbangan

Apabila kuasa bertukar tangan
masing-masing melepas perasaan
ketua kumpulan saling menyalahkan
konon tidak mengambil tindakan

Memang mudah menuding jari
salahkan orang senang sekali
tidak menyedari kesilapan diri
anjing yang tamak selalu rugi

Madah ini mesti diteliti
agar tidak berulang lagi
jangan sekali lupakan diri
kuasa dipertahan demi pertiwi

No comments:

Post a Comment