Thursday, December 30, 2010

Dairi Kehidupan

Dairi kehidupan bermula
meniti harapan yang mendepa
langkahan dengan bergaya
menghadapi cabaran meniti tiba

Pertengahannya cabaran teruja
antara mampu dan hilang upaya
antara semangat dan kematian hala
menjadi biasa dipertengahan masa

Dipenghujunnya telah lali segala
laluan kehidupan dipandu tanda
matlamat dicita berlabuh tiada
tahun baru berazam semula

Makanan Fitnah

Betapa kotornya makanan fitnah
bercampur baur mehnah dan tohmah
dihidang penyedap berkuah sumpah
digaul bersama bahasa penyudah
perisanya ayat-ayat dalam surah
atas hasutan jiwa yang bernanah
tersasar runtun mencari arah
dijamu jamah daging mentah
berkongsi makan ditelan mamah

Makanan fitnah sukar ditegah
semakin hari semakin imarah
terasa sedap bertambah ghairah
sampai berakhir di lubang tanah
janji Tuhan tidak berubah
kita hanya mampu pasrah

Cabaran Transformasi Bangsa

Dari Pekan cahaya ke Putrajaya
kota pentadbiran pancaran warna
menguji ketahanan daya upaya
tidak semudah jangka dan sangka
laluan berliku membangun nusa

Mandat pertama mentafsir hala
mensasar tranformasi berskala
ekonomi diwarisi mencerna laba
meletakkan sasaran digarisan masa
tinggal satu dasawarsa sahaja
wawasan negara transformasi bangsa
dinilai pencapaian termasuk data
penentu keberkesanan menuju hala

Masa pantasnya memukau minda
antara penilaian input diterima
rakyat disumbat sumbernya berbeza
maklumat bercampur dihitung kira
sehingga menjadi caca merba

Penyangak dan penyumbang idea
terlontar di penjuru tinta
bersama metos dan cerita lagenda
pengalaman sejarah Melaka lama
banyak membantu segala-galanya

Memanda jiwa dan dadanya terbuka
kesabaran dan keikhlasan kerja
ditafsir dengan kesungguhan daya
bertangguh tiada dipacu cicita
bertongkat paruh menyerah tiada
rela berkayuh kapal di muara
membawa negara keambang jaya
biar terbukti lafaz dan kata
hasrat negara belahan dada
musuhkan rebah dibumi permata

Tuesday, December 28, 2010

Sekolah Peluru

Memerhati sayu anak-anak tidak berbaju
di Rafah dan Ramallah semakin berdebu
dibumi bergolak bagai dadu dalam tandu
menongkat dagu memikir sesuatu dengan ragu
dia kini belajar membilang peluru satu persatu
dimasukkan kedalam baju menggantikan buku-buku
sekolahnya merupakan medan latihan rekrut baru
strategi memburu dan menyerang tanpa peluru
mengumpul dan menajam batu-batu sewaktu perlu
mengantikan pensel yang tumpul ditajam pandu
semangat kental bagai bara perajurit terdahulu
semerah wangian darah Hamzah, Khalid dan Amru
azamnya satu matinya nanti sebagai syahid beradu
diingati sejarah sebagai anak mujahid dijemput tamu
generasi baru mewarisi semangat juang sekental batu

Makin Celaru

Melihat kecantikan taman itu
air terjun dan cendawan susu
kura-kura dan itik yang menyudu
kiambang, keladi dan pohon kayu
hamparan menghijau rumput baldu
burung, pepatung dan kelakatu
bertenggek dan bertahan disitu
menjauhkan hari-hari ceriaku
sajian dan hidangan palsu
dijelmakan dari batu-batu
semuanya kaku dan beku
sukar meyakinkan kalbu
ketenangan makin celaru

Monday, December 27, 2010

Wangian Kehidupan

Dalam ketenangan ada gelombang
dalam gelombang ada kemusnahan
dalam kemusnahan ada kehancuran
dalam kehancuran ada kesedaran
dalam kesedaran ada ketenangan
dalam ketenangan ada keinsafan
keinsafan adalah wangian kehidupan

Disebalik Bubur Assyura

Muharaam dan Assyura
berkait mesra adunan rasa
ramuannya kerjasama
dalam satu kawah bangsa
resipinya saling percaya
perisanya harmonika
caranya berpadu tenaga
dengan beraneka cara
pelbagai bangsa dan rupa
peringkat usia dan tahap minda
berkongsi rasa berkongsi jiwa
membina satu bangsa Malaysia
satu matlamat satu cita-cita
merasai kehidupan yang sejahtera
dinikmati dalam bubur Assyura

Sunday, December 26, 2010

Saat Mengingati Ibu

Luruh seluruh jambak perasaanku
jatuh satu persatu
melihat benang nafas mu ibu
ditarik didepan mataku
anak bongsu mu

Mata ini kian berdebu
melihat mata mu diakhir waktu

Dalam nafas syahdu yang tepu
aku mampu mengingati mu
tanpa jemu
dalam serba kepayahan waktu
aku termangu
namun alunan zikirku mampu
menebar bunga-bungaan rindu
dalam ingatanku yang meluru

Di Celah Rintihan

Antara rumput dan lalang
tidak ada bedanya sekarang
masing-masing membuat tuntutan
dalam persaingan berterusan

Padang dataran menumpang
memburu ruang dan peluang
keduanya sering bersaingan
menegak, mendongak dan memanjang
berebut mencari tulang belulang
dicelah rintihan kehidupan
bertukar tuan bertukar tangan
penduduk tempatan menjadi pendatang

Saturday, December 25, 2010

Harga Adunan Kehidupan

Sepanjang mengayam perisiwa
antara sengsara silih gembira
dijalin umpama mengkuang rupa
antara kelabu dan biru muda
berlampik kehidupan sepanjang masa

Atas calikan kehidupan biasa
cantik juga dipandang mata
jika dibanding satu warna
bisa pudar bebila masa
mempercepat kejatuhan harga
nilai pada pandangan manusia

Disebalik adunan warna kehidupan
lebih nilai dan berdaya tahan
jalinan membawa banyak ertian
dalam mengotakan sebuah impian
tanpa perlu laungan dan hebahan
mampu disimpan menjadi asam garam
Pengalaman sebenar sebuah kehidupan

Disebalik Rumpun Hati

Dari Labis ke Dun Tenang
perjalanan sebuah kehidupan
melalui kepenatan sepanjang
berdepan ranjau dan likuan
yang amat mengesankan

Senyum seorang penoraka tua
menceritakan segala-galanya
selama berpenat menggali usia
telah berdekad membunuh ceria
dada dan jiwanya mula terbuka
sejambak hati mekar di syurga

Kini pertarungan kembali menjelma
Bukan lagi atas kesakitan sengsara
tapi antara cerita nostalgia
yang mengubah jiwa dan matanya
mengubah perasaan dan mindanya
berbanding jaminan syurga yang dijaja
berbekalkan teori anjakan paradigma
yang menukar daya angan-angannya
untuk terapung mundar di angkasa

Dia amat mengerti dan memahami
maksud kehidupan dan erti teori
sambil berdiri memerhati
debu-debu janji yang bersaksi
dibawa angin similir pagi
berlalu dibalik rumpun hati
menikmati kehidupannya kini

Sasaran Yang Lari

Satu demi satu kita diuji
sasaran hanya menjadi teori
apabila tidak lagi menjadi
setiap ramalan tersasar lari
tanpa membuah hasil bukti
disebalik seronok diri sendiri

Diramal hujan dengan kuantiti
bahang mentari panas meniti
tika diramal panas mendada
banjir pula datang melanda
tika diramal membolot semua
rupanya yang ada terlepas pula

Semakin hebat sasaran manusia
semakin lemah menghadapi segala
sebab akal tidak berdaya
menahan perubahan, musim dan suasana
walapun kita yakin untuk melakukannya

Friday, December 17, 2010

Pada Pokok Yang Menghijau itu

Kita lupa akan pokok yang menghijau itu
bisa berdoa dan berkata-kata sewaktu
kita menjaga dan mengambil tahu
dalam suasana tidak menentu
terutamanya pancaran matahari terlalu
mengeringkan daun atau akarnya kaku
mencari air dan sumber makanan selalu
ketika itu kita berterusan membantu
menyalur sokongan dengan siraman madu
pantas bertindak dari waktu ke waktu
dalam doanya kita lakukan sesuatu
hasilnya kita bahagia dalam rumpun kalbu
setenang pokok yang merimbun malu

Thursday, December 16, 2010

Cerita Hati

Hati bercerita
tetang kepala
hati bercerita
tentang mata
hati bercerita
tentang jiwa
hati bercerita
tentang kata
hati bercerita
tentang semua
yang ternyata
hati tidak bercerita
tentang kelemahannya

Sungai Nil Yang Tersekat

Sungai Nil ku lihat
airnya masih pekat
mengalir dalam likat
sejarah yang tersumbat
antara haq dan khianat
tidak pernah penat
untuk menerima hakikat
nanti ngalirnya tersekat
dilihat jarak dekat
ceritanya berlipat hebat
pernah menjadi penyelamat
seorang Rasul yang azmat

Sekuntum Ingatan di Sudut Baringan

Berjumpa sahabat lama
antara suka dan duka
lipatan cerita dibuka
terjahan dari airmata
ku lihat deritanya
beralun sampai ke rongga
hingga hilang kata-kata

Diwajahnya berbunga mesra
kujungan ku jambakan warna
ada kalis ingatan di mata
zaman remaja mendamba ceria
zaman remaja melukis cerita
sama-sama merentasi masa

Ku hadiahkan sekuntum ingatan
untuk disimpan disudut baringan
barangkali pengubat kesepian
menyembuhkan segala kesakitan
ubat penawar rawatan berkesan
adalah keakraban berpanjangan

Wednesday, December 15, 2010

Kelopak Hati Berseri

Betapa nyamannya seawal pagi
mendapat ilham rahmat ilahi
terasa kecil lagi kerdil diri ini
menadah tangan memohon berkati
mengembangkan kelopak hati berseri

Terasa nikmat melayan hati
membukukan rasa nan tersembunyi
melukiskan kata-kata berukir seni
lembut dan mesra untuk dihayati
nian terasa damai dan harmoni
disebalik menghayati erti sepi

Pagi yang bisa dinikmati
adalah hidangan naluri dalam diri
zikir dan solat menghiasi
alunan kedamaian dipinggir pagi
lebih indah dari dibuai mimpi

Azam Baru Bacuhan Rasa

Azam demi azam memaut tiba
bagai temali berpaut rasa
menyambut 2011 kelopak mesra
memadam seluruh azam lama
tingkat maya julangan jiwa
menyala untuk diharap membara
memaut rongga harapan terngaga
untuk ditelan kemanisannya

Biar kali ini bertahan lama
tidak mengerlip untuk seketika
yang akhirnya terpadam dek cuaca
menembusi harapan dan cicita
terburai dalam perjalanan masa
hingga tahun baru berganti tiba
kita galak untuk berazam semula
azam lama bersalut hampa
azam baru bacuhan rasa
plot lama ditayang semula

Monday, December 13, 2010

Chow Kit Selepas Hujan

Chow Kit selepas hujan
senyum dalam kegusaran
sukar membuat telahan
untung rugi perniagaan
pengunjung makin muram
pengunjung makin kurang
ada yang bergegas pulang
dalam rongga pengangkutan awam
yang tinggal golongan melaram
langsung tidak diberi perhatian
hanya sekadar menjadi hiasan

dalam pengunjung boleh dibilang
peniaga menyimpan keluhan
menarik nafas panjang
hanya minah lenggang
dan matgian mampu bertahan
mereka memburu misteri alam
dibalik kehidupan berbalam

Menaiki Bas ke Putrajaya

Menaiki bas ke Putrajaya
adalah biasa dan sentiasa
menjadi penumpang setia
menenggelam siapa kita
orang lain tidak punya masa
mengkaji latar setiap yang ada
menyebabkan aku diterima
oleh penumpang lain seadanya
mengesampingkan pangkat
melupakan darjat yang melekat

Tiba-tiba aku lebih gembira
melihat ketua jabatan pun sama
berdiri tanpa bual bicara
tanpa ikatan protokol biasa
masih boleh tersenyum mesra
dibalik wajahnya yang bersahaja

Saturday, December 11, 2010

Hijrah Hati

Hijrahlah dengan hati
bertatah jiwa yang murni
mengatur langkah strategi
supaya hidup tidak mati

Hijrahlah dengan hati
agar lebih diyakini
mencari matlamat abadi
mendapatkan keredaan Rabbi

Hijrahlah dengan hati
berbekal niat yang suci
untuk mengubah diri
menjadi lebih insani

Hijrahlah dengan hati
disertai dengan akal budi
menghayutkan deburan elegi
yang tidak bertepi

Hijrah itu menjadi mesti
dalam setiap diri insani
agar hidup lebih bererti
dari terus berpaut mimpi

Friday, December 10, 2010

Harga Budi

Sewaktu membeli baja tumbuhan
daripada najis ayam
ingatan aku terbang
menjenguk kampung halaman
memerhati dari reban ke reban
semasa ibu memelihara ternakan
baunya sama seperti yang ditangan
najis ternakan peliharaan
yang langsung terpaksa dibuang
dalam sedu sedan yang memanjang
dek cemuhan dan tohmohan
dengan bahasa yang amat tajam
setajam bau yang keterlaluan

kalaulah ibuku masih ada kini
betapa girangnya hati
nilai seguni baja tadi
dapat membeli tanpa peduli
dua guni makanan ruji
dimakan hari-hari
dalam kedhaifan serba-serbi

Masa kini dianjung sepi
mengingatkan aku erti
diri dan harga budi
baja yang ku tabur ini
membawa wajah ibu di sisi

Thursday, December 9, 2010

Mencatat Peristiwa

Tika mencatat peristiwa
aku menjadi pelupa
melipat ingatan yang menjelma
adalah yang sesuatu mendera
perasaan dan jiwa

Tika saatku tidak bersedia
mencatat semua yang berlari di mata
acap dan kerap tibanya
tanpa diundang pelawa

Namun sukar ku panggil semula
untuk mencatat tatkala
aku sudah bersedia melakukannya
atas kelemahan yang ada
aku tidak upaya
mencatat semua perkara
di gedung rasa

Wednesday, December 8, 2010

Ranumkan hati kembali

Hati yang mula berputik ini
mesti dijaga seawal lagi
agar bebunganya tidak menyendiri
atau layu dikelopak lestari

Biar menjadi buah yang ranum
berkelopak wangian harum
dalam kebun jiwa
mekar manis melata
segar semula setelah alpa
dek musim kering melanda
melayukan jiwa agamanya
oleh terlalu bernafas dunia

Saturday, December 4, 2010

Penghujung Rindu

Sesekali melihat peroman tua itu
terasa dia mencari sesuatu
di matanya ada kesalan yang berdebu
dimulutnya ada sesuatu yang terbuku

Dia sendirian menjamah usia
anak dan isterinya dibilang tiada
sejak dulu dia dilihat teruna bergaya
tidak suka diganggu cara

Katanya dia kerugian waktu
tewas dek rerentak lalu
kini dipenghujung rindu
menggalas lambakan pilu

Waktu sesalnya berganda
dia menghirup nafas mudanya
sambil menyapu peluh peristiwa
dan sisa hidupnya kini di muara

Wednesday, December 1, 2010

Sayangnya Bangsaku

Sayangnya bangsaku
ada yang tidak malu
ada yang tidak ragu
rela menanggalkan jasad melayu
berazam membunuhnya hingga kaku
tanpa rasa bersalah apalagi terkedu

Hang Tuah dan pahlawan dulu
bisa diancam sembilu dan peluru
telah dipertahankan berabad waktu
tidak pernah ragu diambang waktu
melayu antara lama dan baru
bezanya tidak dua tidak satu
kecuali yang setia memusuhi bangsaku
mula bergerak bagai dedalu
menjelma tanpa ragu-ragu
menjadi agen imperalisma baru
dalam khayalan debuan candu
dan jiwa mereka kian layu
dipadang hempedu

Dirgahayu bangsaku
biar diamuk segenap penjuru
melayu pasti akan bersatu
hidup dalam debunga waktu

Saturday, November 27, 2010

Mimpi Realiti

Meneka dalam diri
menuntut sesuatu yang pasti
antara jemari dan hati
fikiran dan emosi
yang mana ada autoriti
menilai dan meneliti
membuat keputusan pasti
supaya akhirnya nanti
tidak menuding jari
mengejar mimpi realiti

Tuesday, November 23, 2010

Anak Muda Dipagar Api

Anak-anak muda mesti mengerti
hidup mereka kini dipagar api
silap melangkah terbakar hati
silap berlari terbakar diri
melepasi diri mesti hati-hati
jangan ulangi desakan nafsi
utamakan emosi pembunuh siasi
beralas ganti jauh sekali
yang ada akal budi
timbang tara diri sendiri
jangan tersesat dijalan mati

Saturday, November 20, 2010

Membina Keharmonian

Terasa betapa murninya kehidupan
berteraskan kasih sayang
bersendikan setiakawan
dalam kepelbagaian perasaan
satu perasaan satu ikatan
dalam ikatan ada kesungguhan
jalinan sokongan dalam kesalingan
menggalas keharmonian dalam peradaban
mengukir kembali kegemilangan
demi masa depan yang cemerlang

Hujan Kenangan

Ketika hujan
ada titisan kenangan
membasahi perasaan
sebak dalam takungan
mengumpul lumpur silam
hingga mencair ingatan
mengesan dan memilukan
pedih yang tidak tertahan
menyucuk hingga ketulang temulang

Thursday, November 18, 2010

Disebalik Muafakat

Disebalik muafakat ada berkat
disebalik berkat ada fadhilat
disebalik fadhilat ada manfaat
disebalik manfaat ada matlamat
disebalik matlamat ada hakikat
disebalik hakikat ada makrifat
disebalik makrifat ada munajat
disebalik munajat ada hasrat
disebalik hasrat ada tersirat
disebalik tersirat ada khairat
disebalik khairat ada muafakat

Tuesday, November 16, 2010

Musim Tengkujuh Yang Tiba

Umpama tetamu senja
musim tengkujuh yang tiba
tanpa disangka disuluh tiada
terlepas dari kesanan deria
tersasar radar teknojangka
awal rangka untuk siapsiaga

Bisa mengunjung kita
pada bebila masa ketika
wajah semasa yang berduka
atau wajah pudar ceria
kita terima seadanya
atas sifat hamba

Jauh sekali untuk mengeji
atau mencerca benci berkali
kerana ianya ujian Ilahi
menguji kecekalan hati
dan kesabaran diri

Kalaupun tali temali
hentinya tidak sekali
kita bertahan diri
dengan temulang dan sendi
untuk berbakti

Usah dicerna canai
utamakan saluran damai
kalau sumbangsih biar bersih
kemanusiaan berpagar ihsan
jauh dari tohmohan
atau ditafsir ikut pandangan

Banjir yang tiba
bisa membasuh dosa
agar lebih bersopan susila
sesama manusia dan Tuhannya
melebehi kepentingan pilihanraya

Thursday, November 11, 2010

Korban Hakiki

Korban hakiki maknanya
menyerah diri kepada ilahi
tanpa peduli
nista dan caci
hamun dan maki
geram yang membutatuli

Tidak sekali-kali
peduli sifat insani
alunan nafsu-nafsi
mainan duniawi
melingkar khalbi

Hanya Al Muhaimi Ya Rabbi
tempat diri mengabdi hati
tempat luahan muntahan diri
sedia dibelit temali
mengikat pengabdian ini
yang telah bersimpul mati

Tuesday, November 2, 2010

Sungai Batu Api

Sekali memerhati
Sungai Galas kian mengerti
dasarnya dikemudi kendiri
tiada reruang pasti
tertutup pintu permisi
untuk menjadi batu api

Thursday, October 14, 2010

Episod Persaingan

Memasuki daerah undi Galas
mata kian malas berbilas
melihat kehidupan semakin dawas
senyum yang jelas tidak berbalas
bahasaku beralas dalam keras

menjenguk pandang budaya kehidupan
semakin pudar susila dan sopan
semakin longgar ikatan jalinan
rasa sombong dan riak berhambatan
tetamu yang kunjung datang
dilayan bagai musuh perang

Betapa bangsaku digaris sempadan
menghumban nilai hormat dan adat sopan
jauh meluncur dari titik perasaan
tanpa rasa kesal terpendam
bahkan berbunga kegirangan
anggap kejayaan dalam persaingan
menelan kehancuran yang terancang
episod perebutan
berjaya merenggang hubungan
memusnahkan ikatan kekeluargaan
rumpun bangsaku terkulai dijambangan

Saturday, October 9, 2010

Mengotakan Kata

Bukan mudah mengotakan kata
bukan mudah membina sejahtera
terkadang menjadi rosak tatkala
kita menyebut untuk cuba membaikinya
kita mampu menghancurkan
tatakala cuba meyakinkan orang
janji tetap dilaksana segera

Harus akal mendahului zaman
agar benih wawasan berterusan
dicanai dan diperkasa sentiasa
dilihat mampu upaya
melepasi tutur kata
dan janji selama
menahkhodakan kerja dengan jaya

Tutur kata, janji dan hasrat dilaksana
serentak bergerak dalam dimensi masa
kita memungut hasilnya
daripada limpahan keberkatan
atas ketepatan pengucapan

Wednesday, October 6, 2010

Menunggu Hujan Reda

Menunggu hujan reda
menyabarkan hasrat yang ada
sedang titisannya
begitu mengasyikkan
hingga hampir terlena
dibuai masa

Menunggu hujan reda
mengajar aku menerima
bukan semua hajat terlaksana
melainkan diuji mula
menilai ketahanan kita
lemah daya lemah upaya
dalam penerusan masa

Hujan yang menitis berterusan
amat mengesankan
bahawa kita tidak bisa
menjayakan sesuatu perkara
kena jua mengambil kira
cabaran yang muncul tetiba
menguji ketabahan kita
walaupun sekecil cuma

Friday, October 1, 2010

Galas Dalam Denyutan

Galas nun tanpak kejauhan
bertukar rupa berubah pandangan
kian diberi tilikan
kian mendapat tumpuan
mata terlekat dek paparan
dalam babak pertarungan
jerihnya tidak berdaya tahan
sedarah, sedaging dan setulang
sebangsa, seagama dan seketurunan
berperang dalam urat denyutan
igauan, impian dan lamunan
menjadi terjahan
bukan di alam bayangan
bukan di skrin paparan
tapi di medan juang
atas tuntutan pejuangan
yang tiada kesudahan
sekalipun ungkapan demi ungkapan
bahasa dan surah menjadi mainan
namun harga pertarungan
daerah pertaruhan Gua Musang
bangsaku kini kian kecundang
bisa bertegang tujuh keturunan
melebarkan parit perpecahan
merapatkan benih kehancuran

Galas bukan daerah jejantas
sebangsa menjadi kontras
makin mengulas makin lemas
jiwa dan fikiran menjadi rimas
bangsaku baranya kian memanas
semoga tiada percikan mengganas
seperti abu gunung api melunas

Sunday, September 26, 2010

Meneliti Menu Kehidupan

Menu harian yang dihidangkan
tidak jua berubah masih bertahan
hari kehari bulan kebulan
tahun berganti zaman
tidak pernah jemu dan bosan
mengenyangkan

Bila memikul tugasan
hampir kedengaran rungutan
bantahan, keluhan dan rungutan
menenggelam hala dan tujuan
matlamat dan keberkesanan
pencapaian diketepikan
emosional dimainkan

Terkadang hati mempersoalkan
mengapa menu hidangan bertahan
tidak ada rungutan memanjang
sepertimana menu pekerjaan harian
yang sering menjadi bebanan
sedangkan kedua-dua berkaitan
untuk penerusan kehidupan

Saturday, September 25, 2010

Sumpah Generasi Merdeka

Bangsaku tinggi jambakan budinya
mudah mesra bertegur sapa
tidak bisa meminggir sesiapa
tahu adat tahu pusaka
warisan berukir sejarah lama
dalam memperkukuh jalinan bangsa

Ras dilayan umpama keluarga
maruah dijaga umpama mahkota
rosak bangsa akibat sengketa
sukar dipulih calar yang ada
terburai keharmonian tatang dijaga

Sebelum retak tebing di muara
lebih baik siapsiaga
biar benteng dipertahanjaga
kerana kita rapat setangga
berkongsi rasa berkongsi jiwa

Satu hati berpadu janji
mempertahankannya bagai jeriji
usah dicabar usah diuji
sedia berkorban demi generasi
sumpah setia satu paksi

Friday, September 24, 2010

Bisanya Hamburan Kata

Kekadang aku pelupa
akhirnya menjadi mangsa
luahan kata-kata
terhambur keluar dari
lidah yang berbisa
dan apinya menyambar dada
terpaksa ku telan jua
walaupun sukar menerima
dalam masa yang sesegera

Mengejar Hari

Sukarnya mengejar hari
yang pantas berlari
tiada upaya diri
memintasnya bersendiri
tatkala hampir mendekati
beratnya langkahan kaki
hilang maya kehidupan ini
yang tetap setia di sisi
hanyalah bayangan sepi

Wednesday, September 22, 2010

Ikan Yang Berenang itu

Melihat ikan yang berenang
terasa begitu tenteram
mengasyikkan
mampu mencuri ketenangan
disebalik tekanan pekerjaan

Manakala keresahan
sering menghimpit perasaan
disebalik bebalnya kesibukan
yang merembat pemikiran
sehingga memenatkan

Air yang berkocak perlahan
rupanya mampu memecahkan
kumin-kumin tekanan
yang sukar dikesan
rawatan demi rawatan

ikan yang ku perhatikan
mencairkan kebosanan
sekian lama tersimpan
dalam suhu kehidupan
yang kelam dan merimaskan

Monday, September 20, 2010

Makna Satu Malaysia

Tatkala Rasulullah di Yathrib
dilihatnya rekahan perkauman
memanjang
bimbang
menjadi gelombang
yang akan menghancurkan

Baginda bertindak bijak
panji penyatuan berkibaran
satu kalimah satu sebutan
Wahdatul Ummah
menyatukan kehancuran silam
memulihkan laluan
dan landasan Madinah
dipandu cemerlang dan berhemah

Di negara kita nian tercinta
atas iltizam pemimpin tercinta
pendekatan sama diteroka
istilahnya berbeza
Wahdatul Ummah dan Satu Malaysia
namun maksudnya sama
menggilap kecemerlangan bangsa

Bagan Pinang yang Meremang

Sekali sekala menghirup udara
Pantai Teluk Kemang yang mesra
ingin aku mengunjungi sentiasa
lapang dada dan nyamannya jiwa

Hari ini Teluk Kemang yang kudatangi
tidak lagi menjadi pengubat sepi
terasa lemas disebalik meriah
terpaksa kusedut biarpun parah

Kata nista dan tohmah
menjadi panah menjadi mehnah
hati pemimpin dikelah-kelah
dengan ketajaman bahasa nan indah
diselang-seli madah,hujah dan surah
sehingga ombak yang bergulung
pun dianggap bersalah
konon menjadi saksi tempat bermukah

Bagan Pinang di Teluk Kemang
romaku berdiri meremang
dibakar perlahan-lahan
bagai bebatang lemang dijalanan

Di sini terpaksa jua kutelan-telan
kumin-kumin panas daripada ucapan
amat berbahang sampai ke tulang
tanpa mengira malam dan siang
laksana hulubalang perang
yang tidak bisa kecundang

Kanan kiri lautan manusia berdiri
menerjah hati
dengan semangat besi
kata dimain umpama meniupkan api
udara nyaman di sini telah pun mati
yang hidup penceramah, pengundi dan batu api

Arus Cabaran Baru

Petaniku
terseyumkah kau pada musim baru
atau masih diayun lagu
irama lama alunan baru

Arus biotekno yang ditemu
bakal mengukur mindamu
untuk berkongsi formula
membangun diarus perdana

Kadar waktu penentu
biotekno damba di dada mu
bakal memacu
menjana iltizam baru

Atau kau bakal rebah
di petak sawah
di bumi bertuah
dengan mata yang masih merah

Catatan Kemiskinan II

Kita bisa mencanang
pembasmian yang memanjang
kita bisa menyebut
pembasmian bersambut
berapa ramai yang menyelam
ketelusan dalam untian
tewas dalam kemenangan
harga sebuah perjuangan

Watikah Biru Untuk Anakku

Anak-anak ku sayang

Kalau langit yang engkau pandang
jangan harapkan dapat memungut bintang
kalau engkau belayar di lautan
jangan harapkan dapat memukat ikan
kalau engkau mendaki pergunungan
jangan harapkan dapat merobek hutan
hidup ini persaingan
menguji kebolehan dan kepantasan

Tersilap jalan
engkau akan kecundang
tribulasi menjadi adang
engkaukan sedu-sedan
sambil menyulam rawan

Watikah biru ini untuk mu
disempadan waktu

Torehan Hidup

Sewaktu musim murung tiba
berduyun anak remaja menoreh kota
mencari titisan
demi secangkir kehidupan

Di kampung
penoreh tua berbaju lusuh
dadanya merusuh
hatinya luluh
hidupnya berpeluh
batang kurus terus disuluh

Doa ditadah memohon barakah
melangkah pasrah
sekali-sekala hatinya merekah
melihat susu getah meleleh gelisah
bilakan masa hidupnya berubah

Kini rezekinya dating melinkar
debunga hatinya kian mekar
semangatnya marak dibakar

Anaknya di kota
di lading kehidupan merdeka
sedia ditoreh sepanjang masa
dalam kemilau lampu kota
terus leka

Saturday, September 18, 2010

Ramadan Yang di Rindui

Ramadan yang dirindu
menjadi tamu hamparan baldu
setelah sekian lama menunggu
merimbun doa dipacar waktu
kusambut mesra wajah ceria
menjadi kekasihku sebulan rasa
nikmatnya bercambah di dada.

Meraut Hati

Hati yang tumpul ini
perlu diraut dengan teliti
dengan bilahan zikri
agar tajamnya kembali
menjadi Asmai.

Berdetik Meniti Kasih ( Khas untuk Alma Adhrisya)

Dalam keletihan menjenguh tiba
lupus semerta gugur dari mata
menatap kelibat mata manja
ratu jiwa ayahanda bonda
berdetik di dada meniti mesra
kasih yang tiada tara
untuk dibayar dengan harta

Kian ku rasa kehadirannya
kian jiwa ku dihimpit duka
betapa anak yang seusia
dipaksa dalam siksa
menyambung nyawa dimuara
atau menjadi mangsa
gigitan lipan bara
hidangan semut kerengga
tangisnya tiada harga

Sedang tangis anakanda
bisa dibayar dengan nyawa

Andai kata
anak kecil mampu bicara
daripada siksa bertarung nyawa
izin saja dirinya
melabuhkan stigma
di riba insan kedua
dari dijadikan pasung puaka

Friday, September 17, 2010

Limpah Kurnia

Kita mungkin sukar temui
tanah air yang sekecil ini
berterusan menerima memberi
sepelaut rezeki tanpa kecuali
seluruh penghuni putrabumi
juadah tetamu termasuk Pati
merasai limpahan kurniaan ilahi

Bumi bertuah ini
bisa ku sujud rapat di dahi
dan langsung aku ngerti
untuk tidak ambil peduli
kutukan bertubi-tubi
dari mulut-mulut bertaji
yang tidak pernah mati

Semoga digandakan nikmat
hidup di bumi penuh berkat

Melayu Yang Perkasa

Melayu yang perkasa
semangat kerjanya membara
bagai air terjun Niagara
tidak alpa dengan kemewahan melanda.

Melayu yang perkasa
retoriknya tidak perlu berjela
sehingga membakar dunia
biar sederhana
yakin dan mampu untuk dikota
setiap janji kepada bangsa.

Melayu yang perkasa
tidak perlu mendabik dada
akulah juara
akulah pembela.
Memadai cuma
memastikan agenda bangsa
dilaksanakan dengan jaya.

Melayu yang perkasa
kan diingati sentiasa
dalam setiap doa
kerana amanahnya sempurna
memacu negara
melepasi duka dan sengsara bangsa
yang mengikat seksa berabad lama

Ramadhan Tamu Segenap Penjuru

Datang dengan cakra
melintasi masa
Ramadhan yang tiba
di ufuk warna
bisa menghilang gulana
menjawab di jiwa

Hadirnya sekejap cuma
seribu makna
siapsiaga
membenteng seksa neraka

Sekian lama menunggu
sekian lama merindu
Ramadan yang satu
menjadi tamu disegenap penjuru
mengerlip iman dan ihsanku
di pintu dirgahayu

Pertahankan Bumi Kita

Kita juga ada hati
menyimpan perasaan dan emosi
sedih, marah dan benci
menerjah bagai besi
semangat julangan api
kita bakar penghianat pertiwi
biar debunya ditolak bumi

Musuh kita tidak kira siapa
walaupun sebangsa
yang rela
menggadai negara
dengan mainan kata
sambil membuka
rongga rahsia
untuk diperkosa

Mari kita bersumpah
biar bergegar bumi bertuah
kita tidak akan menyerah kalah
walau disogok walau diupah
seinci bumi kita ditagah
kita akan bayar dengan darah
kita rela dilapah
dari hidup dipapah
sedia mati demi maruah
dari menjadi kuda penjajah

Betapa Syukur Itu

Syukur itu rimbunan
pokok yang melata ditaman
hati yang sentiasa berteman
mendongak kebesaran

Terasa betapa nikmat
diterima penuh hikmat
gemerlap berbalut rahmat
sakan berpenat

betapa syukur itu
berlian iman
lepasi ujian penuh likuan
dihujung pernafasan
meluah limpah benih pujian
seorang hamba kepada Tuhan
yang menghirup kemenangan

Melihat Kepenatan Mu (wahai isteri ku)

Rawan hatiku
melihat kepenatanmu
yang tidak jemu
menggalas menu
harian mu

Wahai isteriku
sesekali inginku gantikan
keletihanmu
dengan kepedulian ku

Ambillah keceriaan ini
dambakan di hatimu
biar menjadi salju
yang menyejuk kalbu

Aku tidak sabar
mengambil alih tempatmu
biarku rasa sendiri
kepenatan itu
menguji kelakian ku
yang sesekali angkuh
dengan kepala batu

Bonda, Inilah Erti Kasih Anakanda

Setelah hampir dua dasawarsa berlalu
segala ingatan ku padamu
tidak pernah layu
apa lagi membeku

Benih ingatan yang ku tanam
ku kutip dari jambak perasaan
yang gugur satu persatu
dari kalbu
tatkala menantap matamu
di penghujung waktu

Ku bajai ia
dengan kalimah dengan doa
nian indah mempesona
ingatan dibelai dalam sukma
berselang-seli dengan
siraman air mata

Kini kian mekar di jambangan masa
lalu ku tabur dari jendela jiwa
bunga-bunga kasih dan cinta
sewaktu di makam kudus bonda
dan tangan ku sempat menulis nota
bahawa selagi hayat ku masih ada
bondakan tetap hidup di jiwa
bondakan tetap mesra di mata
dalam hembusan doa
dari seorang anak mu
yang kehausan rindu

Erti Kasih Erti Sayang ( Khas untuk Arwah Syafia Humairah)

Anak yang sekecil ini
mempamer hatinya
dengan mata
mempamer lukanya
dengan warna
dibibirnya ada
sebaris ayat sepi
buat mama yang tidak mengerti
manakala deritanya
dibawa ke syurga
sedang hayatnya
untuk bualan manusia

Sepanjang dilahirkan
dia tidak pernah faham
erti kasih erti sayang
kerana baginya
kasih itu adalah
terjahan dan cakaran
sayang itu
pukulan dan koyakan
dari seekor harimau jadian

Thursday, September 16, 2010

Sukar untuk Meneka

Sukar untuk meneka
atas sifat kita
yang lemah segala
musim yang tiba
sudah tidak berjangka
teori akal kita
sering hilang punca
manakala musim dan suasana
sering bertukar rupa
sering bertukar warna
durian dan mangga
musimnya telah tiada
hadirnya sepanjang masa
kenduri kendara juga
tidak menunggu musimnya
berlaku sepanjang masa
sewaktu musim terik melanda
banjir pula yang tiba
jangkaan kita tersasar dimuara
kita sering pening kepala

siapalah kita untuk menjangka
kuasa Allah melebihi segalanya

Hujan dan Banjir

Hujan menitis berterusan
hati diulik kebimbangan
bilakan reda gundah yang tiba
sedang air meniti dimata
sedang bimbang gelodak dijiwa
rangtua

Namun anak remaja
menyambutnya bagai pesta
dengan pakaian dan harapan
yang tinggi lampai
seperti air meninggi di birai
menunggu jodoh sampai


Hujan adalah kebimbangan
banjir adalah kegembiraan

Mengayam Perasaan


Setelah selesai wida’
dada tiba-tiba sebak
bilakan bertandang lagi
mengisi hati
sedang di sini
amat bererti
kepada diri ini

Pengabdian
hanya untuk Tuhan
berselang
lambaian pulang
menjemput datang
menerbangkan kenangan
menerbangkan ertian
makna pengorbanan
dan erti  air zamzam