Friday, February 25, 2011

Tafsir Mimpi

Tatkala cerah datang gelap mengisi
semasa gelap muncul cerah berkongsi
gelap dan cerah mampu bersekali
tafsirkan sebuah mimpi yang realiti

Tuesday, February 22, 2011

Cermin Diri

Melihat cermin diri
ada tompokan hasadi
mula melebar di hati
segeralah ubati
agar hidup diredai
jambaknya tidak mati

Friday, February 18, 2011

Kerdau Nan Satu

Lirikan Kerdau menawan kalbu
ditumpu bagai puteri beradu
medan rebutan dalam tandu
dua hulubalang pasti bertemu

Pekan kecil bersimpuh malu
tamukan dilayan tanpa jemu
bersendi tongkat adat melayu
bertahan kekal dipacu waktu

Kerdau malamnya kian ditunggu
segar diulik lagu merayu
rentak dialun mendayu-dayu
hanya menagih undi nan satu

Mohon dielak kempen terlalu
kawan rapat bertukar seteru
suami isteri bertalak satu
hidup bermasyarakat kian celaru

Jadilah kita manusia matang
elakkan dari bersifat binatang
agar perpecahan dapat dikekang
tidakkan senasib manusia malang

Thursday, February 17, 2011

Kasih Ku Tak Pernah Luput

Namamu Rasul kian ku rebut
luahan cintaku makin bersambut
mayang jiwaku alunan bilut
kalbuku gementar dalam lembut
lidahku terkapai mampu berpaut
namamu ku sebut dalam kabut
kesibukan waktu makinku kalut
namun ingatanku tidak pernah luput
agungnya kasihku membiru laut

Merlimau Yang Menyala

Merlimau dari Pekan sepi
kini menyala dibakar api
di pentas dan kedai kopi
isu dibawa tali-temali
fitnah seranah mainan hari
didedah londeh soal peribadi
mencarut mencerca menuding jari
lakonan hidup makin menjadi
surah dibaca berkali-kali
konon untuk menarik simpati

Merlimau malamnya terus hidup
adat dan sopan semakin lingkup
sarbat perpecahan terus dihirup
bangsaku bilakan bertangkup

Tuesday, February 15, 2011

Sejarah Itu Adalah Kita

Sejarah adalah rakaman peristiwa
berpusing ikut lingkungan masa
dalam putaran yang tidak dirasa
berselang antara ceria dan hiba
untuk panduan kehidupan semasa
khabar duka dan berita gembira
bersilang waktu bersilang jangka
mungkin sejarah dulu menjelma
dalam bentuk dan rupa yang sama
cuma kita tidak menduga
kerana sejarah itu adalah kita
yang sering tersenyum di mata
dan menangis di pinggir dada

Monday, February 14, 2011

Hati Seorang Lelaki

Hati seorang lelaki
tidaklah sekeras besi
tidaklah sekuat jeriji
sampai membayangi isteri
hingga takutnya terperi

Hati seorang lelaki
bisa ditembusi
jauh kejantung hati
ulikan kata sakti
dengan bahasa puisi

Hati seorang lelaki
boleh menjadi
sejuk bagai salji
andainya seorang isteri
dapat menyakini suami
hatinya bertahan suci
setianya bersimpul mati

Saturday, February 12, 2011

Bezanya Selira

Sekali-sekala bersantai makan
bersama keluarga gembira sakan
walau berlaukkan ikan singgang
sambal belacan dan ulam-ulaman
dipetik segar dibelakang laman

Sekian lama hasrat terpendam
ulam ditanam pengganti bungaan
cantik dipandang lagi menawan

Rupanya tanaman usaha sendiri
nikmatnya tersimpan berhari-hari
seliranya penyeri dalam naluri
tidak sama apa yang dibeli
selira dibayar dengan cemati
setiap suapan nilainya gaji

Nilai Keamanan

Udara nyaman pagi nan tenang
awam gemawan berambal-ambalan
kehijauan pepohon mendamaikan
indah dan cantiknya lukisan alam
anugerah yang tiada bandingan

Namun kehidupan berubah semerta
langit yang cerah bertukar warna
asap memenuhi ruang terbuka
api membakar menyambar sesiapa
ika kehidupan bertukar warna
menghimpun jaluran lautan manusia
bertempur jiwa dengan suasana
bisa mendera ketenangan dunia

Dua potensi dimensi berbeza
lembangan Nil dan negara kita
bernafas dalam edaran masa
pembuluh darah alirnya serupa
denyutan nadi yang berbeza
mampu membuat keputusan berharga
nilai keamanan melampaui segala

Monday, February 7, 2011

Menapis Kata-Kata

Tapislah kata-kata dengan cermat
agar kotornya tidak melarat
bersekali dengan kumbahan berat
mengapung fitnah dan dendam kesumat
lebar meluas tanpa mampu disekat
hilang saudara kawan dan sahabat
kata yang terhambur cepat melekat
terpalik semula bagai disiat-siat
akhirnya kita melarat dan merempat
akibat mainan kata tanpa ingat
pulang bisanya seperti siku lipat

Wednesday, February 2, 2011

Kaherah Yang Rebah

Kaherah rebah
laungan berdarah
harga maruah
dibayar pasrah
rakyat meredah
walau diterjah
daya bersimbah
disebalik amanah
diratah punah

Kaherah diambang
ambalan kehancuran
melebur kerakusan
dengan keyakinan
harapan kesyukuran
Nil akan saksikan
sejarah mendapan
kembali tersimpan