Sunday, January 30, 2011

Jiwa Seorang Wanita

Wanita itu jiwanya bergegar
berjuang di atas mimbar
bertekad dalam debar
rela diburu dan dilontar

Serangan bagai lilintar
peluru blog dan pesanan berlembar
nalurinya yang kental itu mendatar
kekuatannya kian bertukar
berubah menjadi hambar
menyerah dan terdampar
akhirnya rebah dalam sangkar

Friday, January 28, 2011

Hujan Di Tenang

Hujan di Tenang di luar jangkaan
bahang panas kian berkurangan
cacian dan tohmohan dilarutkan
beberapa ketulan sisa dendam
dan longgokan sampah kebencian
dihanyutkan perlahan-lahan

Semua yang berlaku mengesankan
hanya tinggal luka perasaan
sakitnya kian memanjang
bercampur gurisan dendam
kumin-kumin kepuakan
menjadi rekahan asingan
begitu sukar untuk disatukan
disebalik laungan kemenangan
dalam banjir yang menenggelam

Thursday, January 20, 2011

Malaysia Nan Satu

Anak kecilku mungkin keliru
antara Hari Raya dan Tahun Baru
perlu diraikan yang mana satu
dia dan kawannya hanya tahu
betapa meriah perayaan itu
pelbagai penjuru tetamu dijamu
jalinan mesra anyaman kalbu

Dua budaya yang tepu
bertemu dengan ikatan padu
indahnya Malaysia nan satu
limpahan doa pemimpin dahulu
dihirup rasa generasi baru
sambil melangkah berganding bahu
bertekad bersatu dengan restu
ceria berarak awan membiru

Wednesday, January 19, 2011

Seni Politik

Politik itu alur yang diredah
perjalanan dilalui tidak mudah
serangan dari segenap arah
tidak rela menyerah kalah
seketul hati berlilit megah
perlu kental dalam pasrah
walau ditendang diterjah

Politik itu mainan seni
setiap gerak mesti berhati
irama digaya dengan tari
bunga lintuknya kena halusi
rentak dialun biar selari
pincang tarian hancur seni
bisa mati sambil berdiri
apa lagi kalau berlari
rebahnya tentu meluluh hati
mainannya perlu berhati-hati
agar tidak ditikam curi

Seteru yang dulu menjadi teman
kawan sepasukan bertukar lawan
upaya membunuh dengan senyuman
sukarnya ditafsir segala tindakan
seninya indah tambah menawan

Tuesday, January 18, 2011

Pancaran Warisan

Sukarnya menghasilkan nukilan
sama seperti membina bangunan
sarat dengan muatan perasaan
bahasa indah dan mengesankan
berdaya tahan dari tekanan
sedang pemuka berkepentingan
desakan perasaan nilai dimusnahkan
sedang binaanya amat menyukarkan
bersumberkan minda berdakwatkan cabaran
boleh musnah dalam alur linangan
dimamah nukilan penuh kekejaman
dihancur musnah dek ketidakpuasan
alasan menyentuh soal perkauman
karya ditikam habis-habisan
kesenian adalah pancaran warisan
harganya dibayar oleh zaman

Wednesday, January 12, 2011

Madah Ingatan

Jangan ditanya mengapa Melaka
hilang ketuanan berabad lama
nikmat musnah akibat sengketa
penyakit lama berbangkit semula

Banyak fitnah banyak tohmah
konon mengaku jadi karamah
saudara sahabat menjadi alah
musuh dilayan penuh berhemah

Batu api menjadi taulan
bangsa sendiri diperang habisan
kerana tertelan dek angan-angan
kuasa musnah hilang berterbangan

Apabila kuasa bertukar tangan
masing-masing melepas perasaan
ketua kumpulan saling menyalahkan
konon tidak mengambil tindakan

Memang mudah menuding jari
salahkan orang senang sekali
tidak menyedari kesilapan diri
anjing yang tamak selalu rugi

Madah ini mesti diteliti
agar tidak berulang lagi
jangan sekali lupakan diri
kuasa dipertahan demi pertiwi

Tuesday, January 11, 2011

Sampah Hati

Dia pemungut sampah mencari
longgokan timbunan berisi
demi nafkah anak dan isteri
tidak malu tidak jua peduli
digagahi dengan hati-hati

Namun tergamannya pasti
kali ini luar biasa sekali
dibungkus bagai ketulan ubi
ditarik masih bertali di sisi
seorang bayi bersimpuh mati

Dia sendiri sukar mengerti
betapa dosa mainan naluri
disembunyi bersama sampah hati
baunya dihidu penghuni bumi

Melodi Pilu Sebuah lagu

Tenang tiba-tiba bergelora
dengan serangan kata-kata
laksana mortar dan bom jangka
batu api berperanan utama
adu domba antara dua saudara
atas persaingan dan sengketa
agama dan surah terus dijaja
fatwa segera muncul tiba-tiba
demi kepentingan dua mata

Tenang menyaksikan sengketa
bangsaku lebih berani mendada
rahsia demi rahsia dibuka
hilang maruah hilang harga
aib saudara belahan dada

Sayang bangsaku bijaknya terlalu
anak cucu hidupnya kian termangu
Tenang sebuah melodi pilu dari lagu
nyanyian syahdu anak generasi baru

Mencari Penggerak Zaman

Dalam pencarian yang berterusan
ulama hakiki penghujung zaman
tidak mentafsir ikut kepentingan
menjaga lidah dan perkataan
tidak angkuh dengan ilmuan
tidak mencerca lawan dan rakan
rendah diri berbalut nilai kesopanan
jauh dari salah tanggapan dan tohmohan
apa lagi fitnah dan hasutan
tidak mengutamakan puak dan kumpulan
melebihkan keamanan dalam perpaduan
ummatan wahidah simbol penyatuan
tidak memerlukan gelaran dan pujian
tidak bernafsu keduniaan dalam menagih kebendaan
tidak berdendam dan tidak mendoakan keburukan
apalagi kemusnahan dan kehancuran untuk insan
sentiasa menjaga tata kehidupan amalan pergaulan
nun jauh melihat nasib dan masa depan kesatuan
sedar akan ikatan dalam semangat persaudaraan
ummah sezaman digerakkan dalam kesabaran
tidak menuding kesalahan dan kepincangan
memohon keampunan atas kelemahan
memohon keberkatan dalam keredaan
imej diri tidak sekali diperdagangkan
apa lagi digunakan untuk keangkuhan
setelah diktiraf manusia berkepentingan

Penggerak zaman adalah pemusnah kepuakan
penggerak zaman adalah nakhoda kegelapan
cahaya mengerdip dari celahan bintang

Friday, January 7, 2011

Keyakinan Dan Kesabaran Diri

Anakku merungut setiap kali
biji kuaci yang diberi
katanya betapa penat mencari
isi yang terpaksa dipecah biji
kunyahan berkali tanpa henti
membosankan diri mendera hati

Itulah makna hakiki insani
terkandung padanya isi dan erti
ketabahan dan kesabaran diri
diuji berkali-kali hingga nanti
biji kesabarannya tidak berisi
tersimpan pada di urat nadi
berkat keyakinan diri
hasil ketabahan hati

Thursday, January 6, 2011

Tenggelamnya Episod Setia

Betapa tercalar maruah bangsa
nilai ketaatan tiada harga
bertukar biasa menjadi terpaksa
atas kesetiaan dilakon cuma

Bangsaku tidak pernah mengejar
untuk berkelakuan kurang ajar
taat setia semakin hambar
raja dijunjung mainan di pagar

Siapa mereka berlakuan rupa
tiada meresap hormat dan setia
emosi dihambat melepasi kepala
bersultan di mata hirisan jiwa
bertuan dendam rosak segala

Tiada lagi nilai seorang hamba
melayu itu derhakanya tiada
apalagi mencabar secara terbuka
dek menjaga rakan nun di sana
hanyut luncai dengan lelabunya
lemasnya terasa amukan jiwa
terungkai sudah episod setia
telah dipertahan berabad lama

Monday, January 3, 2011

Catatan Hari Pertama

Melihat senyum anak ku sewaktu
melangkah ke sekolah dengan restu
berlapang dada bersandar bahu
melabuh harapan didada waktu
mendapat panduan dan ilmu baru

Pabila pulang semula ke pangku
anak sekolahanku memberitahu
tidak ada apa yang dia ketemu
melainkan kawan-kawan yang bisu
cikgu yang melekat dibangku