Thursday, October 14, 2010

Episod Persaingan

Memasuki daerah undi Galas
mata kian malas berbilas
melihat kehidupan semakin dawas
senyum yang jelas tidak berbalas
bahasaku beralas dalam keras

menjenguk pandang budaya kehidupan
semakin pudar susila dan sopan
semakin longgar ikatan jalinan
rasa sombong dan riak berhambatan
tetamu yang kunjung datang
dilayan bagai musuh perang

Betapa bangsaku digaris sempadan
menghumban nilai hormat dan adat sopan
jauh meluncur dari titik perasaan
tanpa rasa kesal terpendam
bahkan berbunga kegirangan
anggap kejayaan dalam persaingan
menelan kehancuran yang terancang
episod perebutan
berjaya merenggang hubungan
memusnahkan ikatan kekeluargaan
rumpun bangsaku terkulai dijambangan

Saturday, October 9, 2010

Mengotakan Kata

Bukan mudah mengotakan kata
bukan mudah membina sejahtera
terkadang menjadi rosak tatkala
kita menyebut untuk cuba membaikinya
kita mampu menghancurkan
tatakala cuba meyakinkan orang
janji tetap dilaksana segera

Harus akal mendahului zaman
agar benih wawasan berterusan
dicanai dan diperkasa sentiasa
dilihat mampu upaya
melepasi tutur kata
dan janji selama
menahkhodakan kerja dengan jaya

Tutur kata, janji dan hasrat dilaksana
serentak bergerak dalam dimensi masa
kita memungut hasilnya
daripada limpahan keberkatan
atas ketepatan pengucapan

Wednesday, October 6, 2010

Menunggu Hujan Reda

Menunggu hujan reda
menyabarkan hasrat yang ada
sedang titisannya
begitu mengasyikkan
hingga hampir terlena
dibuai masa

Menunggu hujan reda
mengajar aku menerima
bukan semua hajat terlaksana
melainkan diuji mula
menilai ketahanan kita
lemah daya lemah upaya
dalam penerusan masa

Hujan yang menitis berterusan
amat mengesankan
bahawa kita tidak bisa
menjayakan sesuatu perkara
kena jua mengambil kira
cabaran yang muncul tetiba
menguji ketabahan kita
walaupun sekecil cuma

Friday, October 1, 2010

Galas Dalam Denyutan

Galas nun tanpak kejauhan
bertukar rupa berubah pandangan
kian diberi tilikan
kian mendapat tumpuan
mata terlekat dek paparan
dalam babak pertarungan
jerihnya tidak berdaya tahan
sedarah, sedaging dan setulang
sebangsa, seagama dan seketurunan
berperang dalam urat denyutan
igauan, impian dan lamunan
menjadi terjahan
bukan di alam bayangan
bukan di skrin paparan
tapi di medan juang
atas tuntutan pejuangan
yang tiada kesudahan
sekalipun ungkapan demi ungkapan
bahasa dan surah menjadi mainan
namun harga pertarungan
daerah pertaruhan Gua Musang
bangsaku kini kian kecundang
bisa bertegang tujuh keturunan
melebarkan parit perpecahan
merapatkan benih kehancuran

Galas bukan daerah jejantas
sebangsa menjadi kontras
makin mengulas makin lemas
jiwa dan fikiran menjadi rimas
bangsaku baranya kian memanas
semoga tiada percikan mengganas
seperti abu gunung api melunas